suria

Ustazah Asma Harun tegur MV artis pamer tarian lucah, separuh bogel - “Kalian bangga dengan maksiat? Ini musibah ummah yang parah!”

Asma turut memuat naik paparan skrin status yang menampakkan tulis Parah Parah merupakan lagu nyanyian Ayda.

VIDEO muzik seorang penyanyi yang menampilkan lenggok tarian mengghairahkan akhirnya mengundang teguran daripada seorang pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma Harun.

Asma menerusi Facebook melahirkan rasa terkejut apabila menonton video klip lagu berkenaan kerana secara terang memperlihatkan aksi dianggap lucah dan memalukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dedah suami suka cium ketiak, Ayda Jebat akui mahu tunjuk rasa bahagia selepas berkahwin - “Saya hanya berkongsi sikap Nabil yang manja tidak dibuat-buat”

"Saya mendapat satu pertanyaan tentang seorang artis, lalu untuk kali pertama saya singgah di laman rasmi dia. Sungguh saya pernah suka dengan bakat dan dirinya.

"Sungguh saya terkejut dan terduduk sayu, atau mungkin kerana saya yang ketinggalan banyak video klip seumpama ini. Namun seingat atau setahu saya... belum pernah saya melihat video klip yang dihasilkan oleh artis Melayu Islam hingga tahap ini.

Status teguran yang dimuat naik Ustazah Asma.

"Ini satu musibah ummah yang parah, tatkala kita masih dalam belenggu cengkaman pandemik yang semakin parah, kalian menghasilkan video klip yang menampilkan penyanyi dan penari iringan yang separuh bogel, dengan rentak dan lenggok tarian menggairahkan seperti tarian lucah, maaf ia sungguh memalukan!" katanya.

Biarpun tidak menyebut nama mana-mana penyanyi namun menerusi paparan skrin menampakkan hashtag tulisan lagu Parah Parah nyanyian Ayda Jebat yang pernah menjadi trending di YouTube.

Malah, rata-rata netizen di ruang komen perkongsian tersebut juga mendakwa status teguran Asma itu dipercayai ditujukan kepada Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat.

Saya tahu kamu adalah seorang muslimah, saya tak pasti samada penari iringan Islam atau tidak.

USTAZAH ASMA HARUN

PENDAKWAH BEBAS

Dalam pada itu, Asma juga meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan sikap penyanyi tersebut yang seakan-akan berasa bangga melakukan maksiat secara terbuka serta menjatuhkan maruah wanita Islam.

"Sungguh dukacita ini bertambah, dalam situasi musibah pandemik dan pelbagai tanda akhir zaman serta kiamat semakin hampir, janganlah kalian menjadi sebahagian daripada penyubur fitnah akhir zaman.

"Kalian bangga menjadi top 10 YouTube, bangga dengan maksiat yang dilakukan secara terbuka, bangga menjatuhkan maruah wanita Islam, bangga menambahkan koleksi si pemuas nafsu?

Ustazah Asma turut berkongsi paparan skrin video klip yang dikaburkan wajah penyanyi dan penari.

"Top 10 YouTube kerana nilai yang baik atau sebaliknya, kekuatan pada bakat atau maksiat? Saya tak pasti jika kalian fikir bahawa esok apabila hari tua jika ingin taubat, boleh la dipadam. Hari ni nikmati dulu hasil duniawi sementara masih hidup lagi, namun bagaimana jika mereka yang download dan jadikan simpanan peribadi?

"Saya tahu kamu adalah seorang muslimah, saya tak pasti samada penari iringan Islam atau tidak. Saya juga tak pasti sama ada penerbit, pengarah, penyunting, penulis lirik, kareografi tarian dan semua pihak yang terlibat muslim atau tidak, namun kalian semua terlibat," ujarnya.

Sementara itu, Asma memberi nasihat terbuka kepada penggiat seni tidak kira pelakon, penyanyi, pelawak atau pengacara supaya membawa imej yang baik serta bermaruah.

Malah, Asma turut memohon maaf kerana memberi teguran secara terbuka dan berharap agar Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia atau Seniman memainkan peranan dalam isu sebegini.

"Semoga dirimu kuat untuk padam video tersebut, sebelum ia mengambil bahagian tenang hidupmu, saat tidur malam, dosa masih berjalan.

"Saya pasti kos penghasilannya sangat tinggi, kerugian tak boleh lari, namun ia amat berbaloi untuk nilai syurgaNya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Pelajar boleh bawa telefon ke sekolah?