Tak masuk akal! Pelakon wanita didakwa minta tajaan bulan madu beserta duit bayar jurusolek - Sensasi | mStar

Tak masuk akal! Pelakon wanita didakwa minta tajaan bulan madu beserta duit bayar jurusolek

Afiq Yass meluahkan rasa tidak puas hati terhadap seorang pelakon wanita terkenal.

SEORANG pemilik syarikat ejen pelancongan tempatan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap permintaan seorang pelakon wanita yang mahukan bayaran selain bulan madunya ditaja penuh agensi berkenaan.

Pemilik Oppa Ninja Travel, Afiq Yass, berkata, selain menanggung kos penginapan yang dianggarkan sebanyak RM20,000, artis terbabit turut meminta bayaran tambahan sebanyak RM1,000 bagi membayar khidmat jurusolek dan promosi di laman sosial miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Duit Ambil, Tiket Penerbangan Tak Beli!

"Saya berurusan melalui pengurus artis terbabit. Artis itu sudah pun berkahwin dan akan melangsungkan majlis resepsi pada September ini.

"Dia minta pakej bulan madu yang ditaja penuh untuk artis itu dan suami termasuk jurusolek dan pembantu peribadi mereka.

"Yang saya tidak puas hati mengapa saya perlu beri token sebanyak RM1,000 untuk mereka bayar jurusolek ketika di sana nanti? Sepatutnya mereka yang perlu uruskan perkara itu.  

"Sudahlah kos penginapan, tiket penerbangan, dan pengangkutan juga diminta saya yang tanggung," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Antara kenyataan yang dimuat naik Afiq di Insta story miliknya pada Isnin.

Selain itu, Afiq menyifatkan permintaan itu sebagai suatu yang tidak masuk akal dan berkepentingan sebelah pihak.

"Harga itu belum termasuk bayaran pelakon itu buat posting di sosial media lagi. Apa pulangan yang saya akan dapat jika saya kena bayar lebih untuk mereka?

"Syarikat saya sudah biasa berurusan dengan artis. Ini kali pertama saya terkena begini dan permintaan dia tidak masuk akal langsung!

"Kalau artis itu sahaja yang ditaja penuh mungkin saya boleh pertimbangkan... ini jurusolek dan pembantu dia pun saya kena bayar. Pada saya ia tidak logik," katanya.

Saya memang tak akan taja mereka kerana saya akan rugi. Lebih baik saya guna duit itu untuk saya buat iklan di media sosial

Afiq Yass

Dalam pada itu, usahawan berusia 26 tahun itu berkata, dia tidak teragak-agak untuk menolak tawaran bekerjasama dalam menaja bulan madu pelakon wanita tersebut.

"Apabila saya persoalkan permintaan itu, dia cakap setiap artis itu lain-lain caranya.

"Saya memang tak akan taja mereka kerana saya akan rugi. Lebih baik saya guna duit itu untuk saya buat iklan di media sosial," katanya.

bulan madu , pelakon wanita , sponser

Artikel Lain