Duit Ambil, Tiket Penerbangan Tak Beli! - Semasa | mStar

Duit Ambil, Tiket Penerbangan Tak Beli!

Salah seorang pemilik syarikat pelancongan itu (tengah) turut hadir semasa pertemuan dengan mangsa pagi Isnin.

PETALING JAYA: Sekumpulan 47 individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat ejen pelancongan yang menguruskan pakej percutian mereka ke Turki baru-baru ini memberi tempoh tujuh hari kepada syarikat tersebut untuk memulangkan semula wang yang telah dibayar.

Menurut anak kepada salah seorang mangsa, Mohd Iqbal Mohd Marazelin, kira-kira 10 mangsa telah mengadakan pertemuan dengan pengerusi syarikat tersebut di Kuala Kangsar, Perak kira-kira pukul 12 tengah hari Isnin.

"Kami datang ke pejabat ejen tersebut dengan niat untuk mendapatkan semula wang daripada mereka. Malangnya mereka berkeras mahu percutian itu ditunda ke satu tarikh yang baharu.

"Rata-rata daripada mangsa tidak mahu meneruskan percutian tersebut dan hanya mahu wang mereka dipulangkan. Mereka dah serik dan tak mahu keadaan menjadi lebih buruk di kemudian hari," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam pertemuan itu, dakwa Mohd Iqbal, salah seorang pemilik syarikat ejen pelancongan itu memberitahu bahawa mereka sebenarnya sudah membayar sejumlah wang kepada ejen yang ditugaskan untuk membeli tiket penerbangan rombongan pakej percutian tersebut.

"Dia kata sudah bayar sejumlah wang kepada ejen tiket tapi beritahu ejen tersebut yang tak beli. Kami tanya kenapa tak tempah sendiri? Dia jawab sebab tak ada sistem ticketing," dakwanya.

Pada masa sama, Mohd Iqbal turut mempertikaikan mengapa syarikat ejen pelancongan tersebut berdiam diri mengenai masalah tiket penerbangan kepada semua mangsa, sebaliknya berpura-pura seolah-olah semua urusan penerbangan telah diselesaikan.

"Kami pun tak sempat nak tanya sebab keadaan dah jadi tegang. Kami tahu orang menipu ni takkan beritahu mangsa lebih awal, sebab itu dah kira modus operandi mereka," dakwanya.

Jelas pemilik bersama sebuah syarikat guaman di Selayang itu, surat tuntutan bayaran semula wang kepada semua mangsa sudah diserahkan kepada pengerusi syarikat terbabit.

"Kami dah serahkan surat itu semalam tapi dia tak tandatangan untuk mengesahkan terima surat tersebut. Apa dia buat hanya cop pada surat tu sahaja dan maklumkan supaya surat itu diserahkan kepada peguam syarikat tersebut," dakwanya.

Mohd Iqbal berkata kesemua mangsa juga akan membuat laporan polis dan aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya syarikat terbabit enggan memberikan kerjasama untuk menyelesaikan masalah itu.

"Itu jalan terakhir yang akan diambil jika tiada maklum balas daripada syarikat tersebut. Sekarang mereka ada tempoh seminggu untuk memulangkan kesemua wang mangsa," katanya.

Sementara itu, jelas Mohd Iqbal, dia juga sedia membantu kesemua mangsa untuk mengendalikan kes tersebut menerusi syarikat guaman miliknya.

"Memandangkan ibu bapa saya juga antara mangsa, saya sedia membantu mereka. Cuma sekarang terpulang kepada mangsa sama ada mahu melantik syarikat guaman kami mewakili mereka," katanya.

Pada Isnin, mStar Online melaporkan impian sekumpulan 47 individu untuk menjejakkan kaki ke bumi Turki pada 12 Oktober lalu tidak kesampaian apabila ejen pelancongan yang menguruskan percutian mereka tidak kunjung tiba.

Sepasang suami isteri yang menjadi mangsa mendakwa mereka mengalami kerugian hampir RM10,000 selepas terpedaya dengan pakej percutian yang ditawarkan syarikat tersebut yang berpangkalan di Kuala Kangsar, Perak.

Kesemua mangsa dimaklumkan supaya berkumpul dengan ejen terbabit di Pusat Rehat dan Rawat (RnR) Dengkil pada 12 Oktober lalu, menaiki bas yang disediakan sebelum dimaklumkan ada masalah pada tiket penerbangan mereka.

ejen pelancongan , penipuan

Artikel Sebelum

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Artikel Berikut

Mahkamah Tolak Permohonan Reman Boy Iman

Artikel Berkaitan

Artikel Lain