suria

Peminat wanita menerpa peluk As'ad Motawh

As'ad Motawh terkejut apabila seorang peminatnya tiba-tiba meluru ke atas pentas dan memeluknya.

SEORANG remaja wanita bertindak menuju ke pentas ketika penyanyi sensasi As'ad Motawh mengadakan persembahan di hadapan 300 peminat menerusi The Percaya Tour yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada petang Sabtu.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik penyanyi berusia 18 tahun itu di Instagram, remaja berkenaan kelihatan tiba-tiba meluru ke atas pentas ketika As'ad sedang menyanyi sebelum bertindak memeluknya dengan erat.

Akibat insiden itu, As'ad nyaris terjatuh namun masih dapat mengawal keadaan sebelum dua anggota keselematan membawa turun peminatnya itu ke bawah.

Bercakap mengenai insiden itu, As'ad memberitahu dia terkejut apabila didatangi peminat secara melulu selain dia turut mengalami kesakitan akibat pelukan itu.


As'ad kini sibuk dengan The Percaya Tour di seluruh Malaysia. 

Bagaimanapun katanya dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan dapat meneruskan persembahannya selepas wanita itu dibawa turun oleh pengawal.

“Memang saya terkejut apabila wanita tersebut secara tiba-tiba naik ke atas pentas dan terus bertindak memeluk saya.

Saya cuma berharap individu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan akibat dihalang dua pihak keselamatan ketika kejadian.

AS'AD MOTAWH

PENYANYI

“Namun saya bernasib baik pihak keselamatan pantas menghalang wanita tersebut daripada bersikap lebih agresif. Saya juga mengalami sedikit kesakitan apabila dipeluk dengan kuat sehingga hampir terjatuh,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, As'ad berkata, dia menganggap insiden itu sebagai kecil malah berharap individu tersebut berada dalam keadaan baik memandangkan dia ditarik pengawal untuk turun dari pentas.

Tambah As'ad, dia berhasrat untuk bertemu dengan wanita tersebut jika diberi kesempatan pada masa akan datang.

“Saya cuma berharap individu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan akibat dihalang dua pihak keselamatan ketika kejadian.

“Bagaimanapun saya berhasrat untuk bertemu dia jika diberi peluang dan meminta kerjasama semua peminat agar tidak melakukan sebarang tindakan luar jangkaan di lokasi jelajah saya seterusnya," ujar As'ad.

Penyanyi lagu yang popular dengan lagu Senyum itu akan meneruskan persembahan jelajahnya di Mahkota Parade, Melaka pada Ahad sebelum ke Plaza Angsana Johor Bahru (9 Mac), Centre Square Sungai Petani (23 Mac), Kuantan Mall, Pahang (30 Mac) dan Centre Point Kota Kinabalu (6 April).

The Percaya Tour turut menampilkan bintang baharu Isma Sane dan kumpulan Outbreak.

As'ad Motawh, The Percaya Tour

Artikel Lain