PENYANYI Azharina tampil memberi penjelasan selepas dilabel lantang ketika mengulas isu di Sabah termasuk meminta memilih pemimpin dan parti yang diyakini mampu membawa perubahan kepada negeri itu.
Azharina berkata, pandangan yang dikongsikan hanya jawapan kepada pertanyaan wartawan mengenai perubahan yang ingin dibuat sekiranya dilantik menjadi menteri susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.
“Baru-baru ini saya ditanya oleh seorang wartawan, kalau jadi menteri saya nak buat apa? Siapa yang kenal pasti tahu saya agak lantang dan sebagai anak kelahiran Sabah saya beritahu nak bersihkan dan basmi kebanjiran warga asing yang terlalu ramai di Sabah.
Azharina tampil duet dengan Nana Karia menerusi lagu Biar Gambar Bicara.
“Siapa yang pernah ke sana pasti nampak betapa ramai pendatang tanpa izin di tepi jalan. Ada yang berani ketuk cermin kereta untuk minta duit. Keadaan ini secara tidak langsung memberi imej buruk untuk rakyat Sabah yang menetap di sana, termasuk pandangan orang luar terutama pelancong.
“Selain itu, saya juga tekankan mengenai masalah sosial di negeri Sabah seperti penagih dadah yang secara terbuka menghisap gam. Kemudian masalah utiliti seperti elektrik dan air yang tidak pernah berkesudahan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single duet terbaharunya bersama Nana Karia berjudul Biar Gambar Bicara di Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut Azharina, apa yang diluahkan itu hanya suara seorang anak jati Sabah yang mengharapkan perubahan positif di negeri sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: Azharina pernah terima tawaran sertai politik, berani bersuara perjuang hak…. ‘BASS’ jadi inspirasi bantu rakyat
ARTIKEL BERKAITAN: Azharina lapor polis dakwa difitnah
"Kenapa Sabah antara tiga negeri termiskin di Malaysia? Perkara ini juga harus dipandang serius. Kita patut dalami segala masalah yang berlaku.
"Saya rasa ADUN atau Ahli Parlimen yang bakal memerintah ambillah teguran ini sebagai satu benda yang baik dan positif.
"Sebagai anak jati Sabah saya cuma mengharapkan perubahan yang bagus di negeri saya. Apa yang saya cakap ini bukan sebagai wakil rakyat kerana saya tidak layak pun.
"Tapi saya bercakap mewakili anak kelahiran Sabah yang mengharapkan ada perubahan di negeri saya,"katanya.
Tambahnya, dia berharap rakyat Sabah memilih calon yang benar-benar bekerja dan mampu membawa kemajuan.
Azharina tidak berniat untuk menjadi wakil rakyat, tetapi meminta calon yang terbaik untuk Sabah.
“Saya juga berharap pilihan raya tahun ini rakyat Sabah pilih calon yang buat kerja dan terbaik untuk memimpin serta memajukan Sabah.
"Itu harapan saya. Saya nak lihat banyak perubahan yang berlaku di negeri ini selain dipenuhi kedai atau pusat beli-belah,"katanya.
Terdahulu Azharina dalam satu temu bual bersama media berharap rakyat Sabah membuat keputusan betul pada PRN dengan memilih pemimpin dan parti yang diyakini mampu membawa perubahan kepada negeri berkenaan.
Azharina yang berasal dari negeri di bawah bayu berkata, pemilihan pemimpin yang betul penting agar ekonomi dan pembangunan di negeri itu dapat lebih diperkasakan di masa akan datang.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


