suria

Terima 200 penyertaan... Abang Adik, Babah jadi tumpuan besar di AIFFA 2025

Abang Adik dan Babah antara filem tempatan yang berjaya meraih pencalonan tertinggi.

DUA filem tempatan bertemakan kekeluargaan iaitu Babah dan Abang Adik terus mengharumkan nama negara apabila berjaya menempatkan diri sebagai finalis dalam beberapa kategori di ASEAN International Film Festival & Awards 2025 (AIFFA 2025).

Filem Abang Adik arahan Jin Ong mara ke senarai Top 5 bagi kategori Lakon Layar Terbaik, Aktor Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik.

Sementara itu, Babah pula bersaing dalam kategori Suntingan Filem Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Sweet Qismina) serta Pelakon Lelaki Terbaik.

Pelakon Qi Razali yang sebelum ini dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 menerusi Babah turut berentap dengan Wu Kang-ren (Abang Adik) bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik. 

Filem Reversi juga tersenarai sebagai finalis Suntingan Filem Terbaik.

ASEAN International Film Festival kini berlangsung 12 hingga 15 November di Kuching, Sarawak.

Pengarah Festival AIFFA, Livan Tajang berkata, penganjuran AIFFA tahun ini menerima sambutan luar biasa apabila berjaya menarik 200 penyertaan daripada pembikin filem serantau termasuk Brunei, Thailand dan Filipina.

“Tahun ini kita buka penyertaan kepada lebih banyak negara Asia dan menerima 200 penyertaan. Ini rekod baharu kerana sebelum ini jumlahnya tidak pernah mencecah angka sebanyak itu. Saya anggap ia satu detik penting untuk festival ini.

“Ketika festival mula dianjurkan dulu, kita hanya terima lapan penyertaan. Jadi perkembangan ini memang sangat besar,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakai Kostum Kucing Tarikan Penganjuran Aiffa 2017

ARTIKEL BERKAITAN: “Kemenangan dirai sehari, tanggungjawab dipikul selamanya” - Nam Ron diumum Pengarah Terbaik AIFFA 2019

Menurut Livan, selain pertambahan penyertaan, AIFFA turut memperkukuh pembangunan bakat muda menerusi kerjasama dengan Asian UniFest, sebuah platform untuk pelajar universiti dari seluruh Asia.

“Tahun ini kita terima penyertaan daripada 47 universiti melibatkan kira-kira 150 peserta dari tujuh negara termasuk Singapura, Indonesia, Malaysia dan Brunei,” jelasnya.

Katanya lagi, misi AIFFA kekal jelas iaitu melahirkan generasi baharu pembikin filem.

“Di AIFFA, kami mahu membimbing dan menyokong anak muda yang berminat dalam dunia perfileman. Mereka perlukan platform seperti ini. Apabila sudah menjadi profesional nanti, mereka akan ingat AIFFA dan mungkin kembali menghantar penyertaan pada masa depan.

AIFFA 2025 menerima sambutan luar biasa apabila berjaya menarik 200 penyertaan. 

“Saya teruja melihat persaingan tahun ini. Kita ada filem Malaysia yang kuat, tetapi negara lain juga menghantar karya berkualiti. Jadi kita tunggu malam gala nanti,” katanya.

AIFFA 2025 yang mula diperkenalkan sejak 2013 dan mengangkat tema ‘Under The Star’ tahun ini bakal berlangsung di Colosseum Ballroom, Pullman Hotel, Kuching, pada malam Sabtu.

Jika pada 2023 AIFFA menerbangkan bintang Korea Selatan, Bi Rain ke Sarawak, tahun ini aktor Hong Kong iaitu Simon Yam pula dibawa untuk acara yang berlangsung dua tahun sekali itu. 

SENARAI FINALIS AIFFA2025:

Lakon Layar Terbaik

Abang Adik – Malaysia

The Gospel of the Beast – Filipina

Inside the Yellow Cocoon Shell – Vietnam

Tenement – Kemboja

Chi Dau – Vietnam

Suntingan Filem Terbaik

King of Hawkers – Singapura

Inside the Yellow Cocoon Shell – Vietnam

Babah – Malaysia

Reversi – Malaysia

Tenement – Kemboja

Sinematografi Terbaik

Inside the Yellow Cocoon Shell – Vietnam

Some Nights I Feel Like Walking – Filipina

Tenement – Kemboja

Green Bones – Filipina

Mbutik – Indonesia

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

Hong Dao – Chi Dau (Vietnam)

Sweet Qismina – Babah (Malaysia)

Imelda Budiman – Way Back Home (Indonesia)

Zulfa Maharani – Crocodile Tears (Indonesia)

Katrina Halili – AbeNida (Filipina)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

Ronnie Lazaro – The Gospel of the Beast (Filipina)

Yoshihiko Hosoda – Tenement (Kemboja)

Khiva Iskak – Way Back Home (Indonesia)

Dennis Trillo – Green Bones (Filipina)

Mogan Chandra Dass – Simple Manusan (Malaysia)

Pelakon Wanita Terbaik

Viet Huong – Chi Dau (Vietnam)

Sarina Mueller – Waiters (Brunei)

Thanet Thorn – Tenement (Kemboja)

Yunita Siregar – Home Sweet Loan (Indonesia)

Marissa Anita – Crocodile Tears (Indonesia)

Pelakon Lelaki Terbaik

Wu Kang-ren – Abang Adik (Malaysia)

Qi Razali – Babah (Malaysia)

Jansen Magpusao – The Gospel of the Beast (Filipina)

Le Phong Vu – Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam)

Jomari Angeles – Some Nights I Feel Like Walking (Filipina)

Pengarah Terbaik

Pham Thien An – Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam)

Petersen Vargas – Some Nights I Feel Like Walking (Filipina)

Jin Ong – Abang Adik (Malaysia)

Sheron Dayok – The Gospel of the Beast (Filipina)

Sokyou Chea & Inrasothythep Neth – Tenement (Kemboja)

Tumpal Tampubolon – Crocodile Tears (Indonesia)

Sabrina Rochelle Kalangie – Home Sweet Loan (Indonesia)

Filem Terbaik

Inside the Yellow Cocoon Shell – Vietnam

Some Nights I Feel Like Walking – Filipina

Abang Adik – Malaysia

The Gospel of the Beast – Filipina

Tenement – Kemboja

Crocodile Tears – Indonesia

Home Sweet Loan – Indonesia

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain