suria

Zara Zya kongsi kisah penyatuan dua hati, suara bergetar masuk studio rakaman

Zara mahu bawa pendengar melihat cinta dari perspektif lebih suci.

TAMPIL dengan lagu baharu berjudul Terpatri Cinta, pelakon dan penyanyi Zara Zya membawa mesej mengenai kasih sayang yang berpaksikan keihlasan dan reda Ilahi.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, berkata sebahagian bait lagu itu cukup dekat dengan perjalanan peribadinya sebagai seorang wanita dan insan seni.

"Ada bahagian dalam lagu ini yang memang dekat dengan pengalaman saya. Ia bukan semata kisah cinta, tapi lebih kepada perjalanan hati bagaimana cinta itu boleh jadi doa," luahnya.

Zara serlahkan sisi lembut dan matang dalam Terpatri Cinta.

Menurut Zara, dia mahu pendengar melihat cinta dari perspektif lebih suci, bukan sekadar penyatuan dua hati, tetapi jiwa yang berpaut menuju syurga bersama.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Wanns Ahmad ini, katanya, memiliki keunikan tersendiri apabila ia sebuah karya sederhana namun sarat dengan emosi.

"Saya ingin sampaikan bahawa cinta yang paling indah adalah cinta yang disucikan dengan niat yang betul.

ARTIKEL BERKAITAN: "Muak!" – Zara Zya minta henti ‘dikenenkan’

ARTIKEL BERKAITAN: Anggap dah lama tak bersedekah, Zara Zya reda duit lesap selepas lupa ambil di mesin ATM

"Terpatri Cinta membawa mesej bahawa kasih yang halal dan diberkati itu bukan sekadar penyatuan dua hati, tetapi dua jiwa yang menuju syurga bersama," jelasnya.

Namun, Zara mengakui cabaran terbesar dalam menghasilkan lagu ini adalah mengawal emosi agar setiap bait disampaikan dengan tulus.

"Ada beberapa bahagian lagu yang terlalu dekat dengan hati saya, sampai kadang-kadang suara pun bergetar. Saya juga selalu rasa kurang yakin dengan kemampuan diri sendiri," ujarnya.

Bercerita tentang proses rakaman, Zara berkongsi pengalaman kerjasama dengan Wanns berjalan lancar dan menyenangkan, meskipun mengambil masa hampir sebulan.

Zara anggap Terpatri Cinta karya sederhana namun sarat dengan emosi.

"Wanns seorang komposer yang sangat memahami jiwa saya. Dia tak hanya fikir soal teknik, tapi juga emosi. Dia faham saya bukan penyanyi profesional, jadi proses rakaman pun mudah dan menyeronokkan," tambahnya.

Seperti karya lain, lagu Terpatri Cinta turut disertakan dengan muzik video rasmi berkonsep minimalis, yang memberi tumpuan kepada ekspresi dan rasa, bukan visual berlebihan.

"Konsep muzik video lebih minimalis, fokus pada rasa, bukan sekadar visual. Terima kasih kepada Datuk Alha Alfa kerana sudi menaja muzik video Terpatri Cinta," kongsinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain