PENYANYI Afgan memberitahu amalan harian memakai tasbih digital sudah biasa dilakukan sejak pulang menunaikan ibadah haji tahun ini.
Afgan atau Afgansyah Reza, 36, berkata, penggunaan tasbih digital menjadi rutin untuk dirinya berzikir, terutama ketika berasa tidak tenang atau menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian.
"Rasanya saya sudah terbiasa sewaktu menunaikan haji sebelum ini, di sana (Makkah) saya tidak pernah meninggalkan tasbih digital itu.

Afgan sudah terbiasa menggunakan tasbih digital selepas tunai haji.
"Jadi sampai sekarang saya masih suka pakai. Kadang-kadang apabila saya berasa tidak tenteram atau dalam hal apa juga selalunya memang saya berzikir.
"Mungkin sudah jadi kebiasaan, habit waktu saya menunaikan haji dulu," katanya kepada mStar.
Afgan berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Retrospektif Showcase yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Afgan pernah lalai, kembali dekat dengan Tuhan selepas bergelar haji
ARTIKEL BERKAITAN: Afgan kembali temui peminat Malaysia dengan ‘Retrospektif Showcase’ Disember ini
Menurut penyanyi lagu Terima Kasih Cinta itu, pengalaman menunaikan haji memberikan perubahan besar dalam hidupnya dan membuatkan lebih dekat kepada agama.
"Saya jadi lebih tenang. Sebelum menunaikan haji saya tidak biasa begini.
"Perubahan terbesar selepas haji pastinya saya lebih dekat dengan Allah, berserah dan tawakal dalam menjalani kehidupan," ujarnya.
Sebelum ini, penampilan Afgan memakai tasbih digital ketika ditemu bual oleh sebuah stesen radio tempatan mencuri perhatian ramai.

Afgan bakal menghiburkan peminat di Retrospektif Showcase pada 5 Disember ini.
Rata-rata peminat memuji sikap penyanyi berkenaan yang kekal istiqamah dan mengekalkan amalan baiknya selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji pada Jun lalu.
Dalam perkembangan lain, Afgan bakal mengadakan Retrospektif Showcase pada 5 Disember ini bersempena dengan pelancaran album baharunya berjudul Retrospektif.
Tiket showcase itu mula dijual sejak 1 Oktober lalu di laman web golive-asia, dengan harga bermula RM358 hingga RM1,398.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


