suria

Sufi Rashid tiada niat ‘overshadow’ Hafiz Suip, duet Ku Akui sekadar penuhi permintaan

Sufi (kiri) tidak berniat untuk mencuri tumpuan di konsert Hafiz baru-baru ini.

PENYANYI Sufi Rashid tidak pernah berniat untuk mencuri perhatian atau ‘limelight’ ketika menjayakan persembahan bersama Hafiz Suip dalam konsert Di Sebalik Aku yang berlangsung pada 1 November lalu.

Sufi atau Muhammad Sufi Ahmad Rashid, 34, berkata, kemunculannya di atas pentas adalah atas pelawaan Hafiz yang mengajaknya untuk berduet lagu Ku Akui dan bukan merancang untuk menonjolkan diri.

"Saya pun terfikir perkara sama, tapi disebabkan Hafiz yang ajak saya menyanyi takkan saya nak tolak. 

"Saya percaya setiap orang mempunyai ekspektasi masing-masing. Saya juga tidak salahkan peminat kerana mereka datang beli tiket konsert.

Sufi (kiri) berduet bersama Hafiz menerusi lagu Ku Akui.

Sufi (kiri) berduet bersama Hafiz menerusi lagu Ku Akui.

"Saya pastikan dapat bawa lagu itu dengan baik. Alhamdulillah tak ada nyanyian flat (sumbang), cukup sedaplah. Kecualilah kalau saya tak hafal lirik memang boleh burukkan persembahan," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Sufi memberitahu sepanjang persembahan lagu berkenaan, dia cuba memastikan agar nyanyiannya itu tidak berlebihan. 

"Kalau perasan sepanjang lagu Ku Akui itu, saya tidak terlalu menonjol dan beri ruang untuk Hafiz. Bahagian harmoni pun memang saya beri Hafiz untuk menunjukkan kekuatan vokalnya.

"Saya tidak mahu mencuri perhatian penonton atau tunjukkan kekuatan vokal. Memang saya bertindak professional dan kami saling melengkapi di atas pentas," ujarnya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Sufi Rashid kesal individu mengemis tiket konsert percuma, jual harga rahmah pun tak nak sokong

ARTIKEL BERKAITAN: Murah rezeki Sufi Rashid, beli banglo dan kondominium sekali gus!

Tambah Sufi,  idea untuk berduet itu sebenarnya tercetus secara spontan ketika Hafiz sedang berlatih di studio bersama komposer Aubrey Suwito.

Tambahnya, dia faham jika ada segelintir penonton yang mungkin tidak selesa dengan kemunculannya, namun niat sebenar hanyalah untuk menyokong rakan baiknya itu.

"Duet lagu Ku Akui tu berlaku secara tak sengaja. Waktu itu Hafiz sedang berlatih di studio dengan Aubrey dan Hafiz minta menyanyi bersama. 

"Saya pun minta izin dengan Hafiz sebab ini adalah konsert dia. Secara peribadi, setengah orang mungkin rasa tak syok saya menyanyi. 

Sufi teruja dapat kembali beraksi di atas pentas.

Sufi teruja dapat kembali beraksi di atas pentas.

“Tapi niat saya hanya menunaikan permintaan Hafiz. Kalau nak cakap saya curi limelight, saya dah pakai sut malam itu, tapi saya pakai baju kerja ketika persembahan," katanya. 

Pada 1 November lalu, Sufi membuat kejutan istimewa apabila muncul sebagai rakan duet Hafiz di konsert Di Sebalik Aku yang berlangsung di Mega Star Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. 

Bagaimanapun kemunculan Sufi itu menerima pelbagai reaksi peminat termasuk ada yang kurang senang melihat gandingan mereka menerusi lagu Ku Akui.

Kata peminat, mereka mahu melihat Hafiz menyanyi lagu tersebut kerana menganggap Ku Akui adalah sebuah karya terbaik daripada penyanyi berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain