suria

Kos hanya RM3,500, Ayu Damit kongsi pengalaman tunai umrah DIY... “Masa lebih fleksibel sebab tak terikat dengan jadual”

Ayu bakal menunaikan umrah November ini.

PENYANYI Ayu Damit berkongsi pengalaman menunaikan umrah secara Do It Yourself (DIY) dengan kos keseluruhan sekitar RM3,500 seorang.

Ayu yang mengerjakan umrah DIY pada tahun lalu berkata, dia dan rakannya Datin Aisyah Ghazali memilih kaedah tersebut kerana lebih fleksibel dan menjimatkan. 

"Menunaikan umrah secara DIY adalah satu pengalaman berbeza berbanding mengikuti pakej agensi pelancongan yang mencecah paling minimum RM6,000 untuk seorang.

Pertemuan bersama Aisyah memberi peluang kepada Ayu untuk menunaikan umrah secara DIY. 

"Bagi saya, umrah DIY ini satu peluang yang sangat bagus buat mereka yang tidak cukup wang tapi mahu menunaikan umrah.

"Dengan adanya umrah DIY, tiada alasan lagi untuk menjadi tetamu Allah kerana kosnya lebih rendah. Saya tahu tentang umrah DIY ini pun selepas Datin Aisyah ajak saya pergi bersama kumpulan Izz Ikhwan,” katanya.

Menurut Ayu, dia bakal menunaikan umrah sekali lagi pada bulan ini dan melihat banyak kelebihan menerusi kaedah tersebut.

“Antara perkara yang saya suka tentang umrah DIY ini adalah boleh merancang jadual sendiri. Masa lebih fleksibel membolehkan saya untuk melakukan lebih banyak ibadah sebab tak terikat dengan jadual.

ARTIKEL BERKAITAN: Ayu Damit diuji, terlepas peluang ziarah makam Rasulullah... Cuba tempah slot, tapi tetap tak berjaya

ARTIKEL BERKAITAN: Umrah DIY lagi senang, lebih privasi dan fleksibel... Guna Muslim Pro je, tak perlu ke kaunter agensi pelancongan

"Selain itu, kos yang lebih jimat daripada menggunakan agensi turut menarik minat saya. Mudah untuk saya memilih hotel dan restoran mengikut bajet yang saya ada,” ujarnya.

Sementara itu, Aisyah yang juga Pengurus Perhubungan Awam Izz Ikhwan Travel Empire berkata, umrah DIY memerlukan persediaan rapi agar perjalanan dan ibadah berjalan lancar.

“Walaupun tanpa menggunakan agensi, anda yang mahu buat umrah DIY boleh membuat persiapan sendiri.

 

Ayu berjaya menunaikan umrah secara DIY dengan kos serendah RM3,500. 

"Antaranya adalah memastikan dokumen seperti pasport sah digunakan sekurang-kurangnya enam bulan, lengkapkan vaksinasi meningitis dan COVID-19 (jika masih diperlukan) serta dapatkan Sijil Vaksin Antarabangsa (ICV).

"Bukan itu sahaja, anda perlu dapatkan visa umrah atau visa pelancong secara digital melalui platform rasmi dan pilih syarikat penerbangan serta tempah tiket ke lapangan terbang Jeddah (JED) atau Madinah (MED) mengikut bajet anda.

"Persediaan lain yang perlu dibuat adalah seperti menyediakan pakaian yang sesuai dengan cuaca panas, membawa barangan peribadi penting seperti sandal, pelindung matahari, dan ubat-ubatan,” katanya yang sedia memberi panduan kepada mereka yang memilih untuk menunaikan umrah secara DIY agar lebih teratur dan selamat.

 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain