KUMPULAN nasyid baharu, Aeydan semakin mencuri perhatian dalam industri muzik tempatan apabila dua single mereka iaitu Bintang dan Purnama mendapat sambutan menggalakkan di platform digital serta radio Islamik.
Kejayaan itu membuktikan kemampuan Aeydan untuk membawa nafas baharu dalam genre nasyid moden tanpa mengetepikan nilai dakwah dan keindahan seni Islamik.
Aeydan yang dianggotai Ilham Fikri Asri, Izwan Izzuddin Azadan, Farhan Rithauddeen, Fardeen Imran Rithauddeen dan Haikal Rahmat merupakan generasi pewaris kepada kumpulan legenda Rabbani.

Aeydan yang kini bergelar mutawif bertekad menyebarkan mesej positif kepada umat Islam.
Mereka tampil dengan identiti tersendiri, menggabungkan muzik kontemporari dan mesej nasihat yang dekat dengan jiwa anak muda.
"Kami ingin terus menyampaikan mesej nasihat melalui seni. Insya-Allah, kami akan terus membawa nilai Islamik dengan cara yang segar dan mendidik," kata Ilham Fikri.
Terbaharu, kumpulan ini terus membuktikan penerimaaan mereka bukan sahaja dalam dunia seni tetapi juga dalam penyebaran mesej positif dan nilai murni.
ARTIKEL BERKAITAN: Rabbani ikut trend ‘goyang bahu’, mahu sampaikan dakwah lebih santai
ARTIKEL BERKAITAN: Ramai artis menyanyi lagu ketuhanan, Rabbani pesan jaga tingkah laku... Faham lirik, bukan hanya nak kaut untung
Kumpulan itu kini dilantik secara rasmi sebagai Ikon dan Mutawif The Mahabbah iaitu sebuah jenama umrah tersohor yang berteraskan pendekatan tarbiah dan kasih sayang Rasulullah SAW.
Sebagai sebahagian daripada pelantikan tersebut, Aeydan kini sedang menunaikan umrah pertama mereka di bawah bimbingan The Mahabbah hingga 13 November ini sekali gus menandakan satu detik bersejarah dalam perjalanan karier serta perjuangan seni dan mesej nasihat kumpulan ini.
Dalam satu kenyataan, pelantikan Aeydan bukan sekadar penghormatan, tetapi simbol generasi muda yang mahu menghidupkan semangat kasih sayang Rasulullah SAW melalui seni dan amal.

Aeydan dianggotai lima anak muda.
“Aeydan bukan sekadar kumpulan nasyid, tetapi mereka adalah suara anak muda yang membawa mesej kasih sayang Rasulullah SAW melalui seni dan kini melalui ibadah.
"Kami percaya langkah mereka ke Tanah Suci ini akan membuka lebih banyak hati untuk mendekati nilai-nilai kebaikan,” ujar jurucakap The Mahabbah.
Dengan sokongan peminat dan penggiat industri nasyid, langkah Aeydan ke Tanah Suci bersama The Mahabbah bukan hanya simbol kejayaan, tetapi juga permulaan bab baharu dalam perjuangan seni Islamik moden.


