PELAKON Liyana Jasmay tampil memberi respons terhadap komen segelintir netizen yang mempersoalkan fizikal mata redupnya sehingga ada yang menyangka dia mengambil barang terlarang atau terlalu letih.
Menegaskan itu adalah bentuk semula jadi matanya, Liyana, 37, juga kurang pasti faktor ia kelihatan begitu ketika tampil dengan wajah tanpa solekan.
"Tak tahulah kenapa mata ini. Dah memang mata saya macam ni, tak tahu nak komen apa.

Liyana menjadi sorotan netizen apabila melihat bentuk matanya yang redup.
"Tapi ada sahaja orang cakap mereka juga memiliki mata seperti saya... mereka kata mata mengantuk. ramai yang cakap mereka mengantuk. Jadi apabila ramai yang mempunyai mata sama seperti ini, saya okay saja," katanya kepada mStar.
Liyana berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pengumuman hos, barisan penyampai, dan penghibur Anugerah Industri Muzik 24 (AIM 24) yang diadakan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada Rabu.
Bagi pelakon ini dia tidak terkesan dengan komen-komen yang dilemparkan dan menganggap ia juga sebagai satu bentuk publisiti sebagai seorang anak seni.
ARTIKEL BERKAITAN: Liyana Jasmay seronok kongsi ilmu, pernah ‘naik hantu’ ajar pelakon baharu
ARTIKEL BERKAITAN: Pemergian ibu bapa banyak ubah Liyana Jasmay, lebih syukuri kehidupan
"Saya okay sajalah perkara viral selagi orang masih bercakap mengenai diri saya. Daripada mereka (netizen) tak cakap langsung seperti sudah sendu
"Semua berita buruk masih lagi dianggap sebagai satu berita, sekarang ini kalau jadi pengarah bukan saja mengarah, anda perlu popular juga. Kalau tidak orang tak pergi tengok filem kita," ujarnya.
Dalam masa sama dia juga percaya kisah yang tular dapat menarik perhatian peminat muda sekaligus memperkenalkan karya baharu akan datang.

Liyana tidak kisah menjadi bualan netizen di media sosial.
Liyana juga akur sebagai seorang selebriti dia tidak boleh lari dari menjadi perhatian ramai setiap kali memuat naik kandungan di media sosial.
"Saya tidak kisah kalau viral cara itu. Selagi masih menjadi perhatian netizen, ada benda yang dikongsikan kepada masyarakat itu adalah baik untuk saya," katanya.
Sebelum ini, Liyana memuat naik sebuah video sedang menikmati makanan di sebuah restoran di Jakarta, Indonesia.
Pun begitu, perkongsian video itu menjadi tular apabila ada yang melabel Liyana kelihatan seperti penagih dadah hanya disebabkan reaksi mukanya ketika menikmati setiap juadah.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


