suria

Zizi Kirana sertai misi ke Gaza, reda jika ‘tidak pulang’... “Kalau Allah izinkan syahid, itu anugerah”

Zizi sertai misi bantuan ke Gaza bermula 31 Ogos ini.

PENYANYI Zizi Kirana bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk kematian apabila bakal menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Ogos ini. 

Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata dia reda dengan ketentuan Allah sekiranya ditakdirkan tidak kembali ke tanah air selepas misi tersebut.

"Mati syahid itu cita-cita tertinggi, tapi tujuan saya ke sana adalah untuk membawa kehidupan dan harapan kepada saudara kita di Gaza.

"Kalau Allah izinkan syahid, itu anugerah. Kalau Allah panjangkan umur, itu amanah untuk terus berjuang. Saya hanya sedia berkhidmat, selebihnya saya serahkan pada Allah," katanya kepada mStar. 

Zizi sudah meminta izin ibu dan suaminya sebelum menyertai misi bantuan ke Gaza. 

Menurut Zizi,  ibunya banyak bertanya mengenai keputusan yang dibuat namun akhirnya reda dan mengikhlaskan segalanya. 

Katanya, suaminya yang juga pelakon Yusuf Bahrin turut sudah memberikan keizinan penuh untuk dia menyertai misi berkenaan.

"Ketika saya maklumkan kepada mak, dia banyak bertanya tapi dia reda dan sudah mengikhlaskan segalanya. Suami juga mengizinkan saya mengikuti misi ini. 

"Mereka semua doakan saya selamat balik, tapi jika berlaku sebaliknya mereka reda sebab saya pergi dengan niat nak sampaikan bantuan,"katanya.

Mengulas mengenai perjalanan ke Gaza, Zizi berkata dia bersama beberapa aktivis dari Malaysia akan berangkat ke Tunisia pada 31 Ogos ini sebelum berlayar melalui Laut Mediterranean bersama puluhan kapal yang turut disertai oleh 44 negara terlibat. 

ARTIKEL BERKAITAN: Kapal bantuan Handala hampiri perairan Gaza, Israel ancam rampas jika enggan ubah haluan

ARTIKEL BERKAITAN: Angelina Jolie sekali lagi bersuara isu Gaza

"Dalam misi ini saya akan mengikuti pertubuhan Sumud Nusantara yang digerakkan dari Malaysia bersama tujuh negara lain termasuk Indonesia, Thailand, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Filipina, dan Maldives. Saya tidak pasti berapa ramai aktivis dari Malaysia yang terlibat dalam misi ini. 

"Gerakan ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang diketuai Global Sumud Flotilla yang berjaya menghimpunkan 44 buah negara untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta membina semula solidariti global.

"Puluhan kapal layar akan terlibat dalam misi ini.  Kami semua akan berkumpul di Tunisia terlebih dahulu untuk menjalani sesi latihan sebagai persediaan sekiranya berdepan serangan daripada tentera Israel seperti yang berlaku dalam beberapa misi sebelum ini,"katanya. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia