PELAKON Anna Jobling mencuri perhatian ramai apabila diumumkan tercalon sebagai Outstanding Asian Star – Malaysia di Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 yang bakal berlangsung di Seoul, Korea Selatan pada 2 Oktober depan.
Anna, 25, membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa menerusi lakonannya yang penuh emosi sebagai watak utama bernama Cahaya dalam drama popular TV3 iaitu Hai Cinta, Dengarkanlah.
Drama bersiri yang mengisahkan liku kehidupan dan cinta yang penuh dengan dugaan itu berjaya memikat hati penonton dengan lakonan mantap Anna.

Anna terharu mendapat berita namanya tercalon untuk kategori Outstanding Asian Star di SDA 2025.
SDA merupakan salah satu anugerah drama antarabangsa paling berprestij yang menghimpunkan bintang-bintang hebat dari seluruh Asia.
Tahun ini, Anna bakal bersaing dengan barisan pelakon dari Jepun, China, Thailand, Filipina dan pelbagai negara lain.
Pemenang anugerah ini akan ditentukan menerusi undian global menggunakan aplikasi IDOL CHAMP, menjadikan persaingan cukup sengit dan bermakna.
Bercakap mengenai pencalonan berprestij itu, Anna mengakui dia amat terharu dan menganggap ia sebagai satu penghormatan besar buat dirinya sebagai pelakon.
ARTIKEL BERKAITAN: Raih 4.8 juta undian, trofi ‘Gempak Most Wanted 2024’ sekali lagi milik Anna Jobling
ARTIKEL BERKAITAN: Terima 1.5 juta undian, Anna Jobling pemenang trofi ‘Gempak Most Wanted 2023’
“Saya benar-benar terkejut dan sangat terharu dengan pencalonan ini. Ia merupakan satu penghormatan besar bukan sahaja untuk saya, malah seluruh pasukan produksi Hai Cinta, Dengarkanlah.
“Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan para peminat sentiasa menjadi sumber inspirasi saya. Saya berharap dapat membawa pulang kemenangan untuk Malaysia,” katanya.
Anna yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Drama Festival Malaysia (DFM) sebelum ini mengakui pencalonan kali ini adalah detik penting dalam membawanya ke tahap lebih tinggi, bukan sahaja di peringkat serantau malah juga antarabangsa.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


