PELAKON Sarah Hildebrand berkongsi khabar gembira apabila selamat melahirkan cahaya mata perempuan hasil perkahwinan bersama suaminya yang berasal dari Amerika Syarikat.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Sarah atau nama penuhnya Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, 35, menerusi satu hantaran terbaharu di Instagram pada pagi Khamis.
Dalam perkongsian tersebut, Sarah turut memuat naik foto bersama suami dan bayi mereka di bilik bersalin sejurus selepas kelahiran.

Perkongsian Sarah di Instagram miliknya.
Malah, di ruangan kapsyen Sarah mengakui dia tidak mampu berkata-kata dan berasa amat bersyukur dikurniakan rezeki cahaya mata tersebut.
"Tak terkata... Ini salah satu perkara yang terhebat sepanjang hidup saya," tulisnya.
Momen penuh emosi itu menarik perhatian ramai, termasuk rakan selebriti dan peminat yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah serta doa agar keluarga kecil itu sentiasa diberkati.
ARTIKEL BERKAITAN: Sarah Hilderbrand beri bayangan sudah kembali bergelar isteri, jejaka ‘mat salih’ jadi pilihan hati
ARTIKEL BERKAITAN: Lama menyepi, Sarah Hildebrand kongsi khabar gembira sedang hamil
"Tahniah! Selamat menjalani tempoh berpantang."
"Alhamdulillah, tahniah Sarah dan suami. Semoga segala urusan dipermudahkan."
"Wah, mesti comel anak Sarah. Apapun tahniah buat kalian berdua!," tulis netizen.

Sarah dan suaminya berkahwin pada Ogos tahun lalu.
Untuk rekod, Sarah mengejutkan peminat apabila mengumumkan dia telah mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka warga Amerika Syarikat pada Ogos 2024.
Pada Februari lalu, pelakon drama Pujaan Hati Kanda ini turut berkongsi berita kehamilannya dengan memuat naik gambar alat ujian kehamilan di Instagram sekali gus mengesahkan bakal bergelar ibu buat kali pertama.
Sebelum ini, Sarah pernah berkahwin dengan pelukis kacukan Filipina-Amerika, Otto Gillen pada 3 November 2019, namun mereka memilih untuk berpisah tanpa mendedahkan tarikh sebenar perceraian.
Selepas mengumumkan pengunduran daripada dunia seni pada tahun 2022, Sarah berhijrah ke Amerika Syarikat dan kini berkhidmat bersama Tentera Udara Amerika Syarikat (US Air Force).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


