suria

Balu Abam Bocey sudah jumpa calon suami, anak beri ‘lampu hijau’… “Ramai cakap muka Amsyar ada iras arwah tapi versi kurus”

Hidayah kini sedang mengenali hati budi jejaka bernama Amsyar (kiri).

BALU kepada Allahyarham Abam Bocey iaitu Nor Hidayah mendedahkan sedang mengenali hati budi seorang lelaki yang dikenali sebagai Amsyar Salim sejak tahun lalu. 

Hidayah atau Nor Hidayah Mohd Ali, 32, berkata, perkenalan mereka bermula secara tidak sengaja apabila Amsyar hadir ke kedai miliknya untuk membeli produk kosmetik. 

Menurut Hidayah, tidak mudah untuk dia membuka pintu hati sejak arwah Abam meninggal dunia lima tahun lalu.

Namun sikap tanggungjawab yang dimiliki Amsyar membuatkan dia tertarik dengan lelaki berusia 30 tahun itu. 

Hidayah sudah terbuka berkongsi hubungan mereka di media sosial.

"Saya kenal dia daripada tahun lepas lagi, dia datang ke kedai untuk beli barang-barang produk kosmetik saya. Sejak itu kami mula rapat dan saling kenal.

"Sebenarnya saya susah nak terbuka hati dekat mana-mana lelaki kerana masih sayang dengan arwah suami. Tapi bila saya tengok Amsyar ni, dia seorang lelaki bertanggungjawab. Saya suka cara dia," katanya ketika dihubungi mStar. 

Menurut Hidayah, dia menjadikan kemesraan yang terjalin antara Amsyar dan anak lelakinya iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey sebagai kayu pengukur sama ada mahu meneruskan hubungan dengan lelaki itu.

"Saya susah nak terpikat dengan lelaki tetapi cara saya nak uji adalah dengan membawa anak berjumpa dengannya.  Saya mahu lihat bagaimana cara layanan dia terhadap Hamzah. 

ARTIKEL BERKAITAN: Cinta Hidayah terhadap Abam tak pernah pudar, titip ucapan sempena hari lahir arwah suami

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ada lelaki mahu berkenalan tapi Hidayah masih belum boleh lupakan arwah Abam

"Bila saya selalu bawa Hamzah jumpa Amsyar dan tengok sendiri Amsyar sayang dekat anak saya, itu membuatkan saya tertarik kepadanya. 

"Saya tanya anak saya pun dia suka dengan Amsyar. Bila anak bahagia, saya pun turut rasa bahagia," ujarnya. 

Lebih menarik, ramai yang mengatakan wajah Amsyar mempunyai iras seperti arwah Abam namun dalam versi lebih kurus. 

Bila saya tengok Amsyar ni, dia seorang lelaki bertanggungjawab. Saya suka cara dia. 

NOR HIDAYAH 

ISTERI ABAM BOCEY

Hal ini turut menyentuh hati Hidayah yang menganggapnya sebagai satu aturan Allah paling indah.  

"Terlalu ramai yang cakap muka Amsyar ada iras arwah Abam tapi versi kurus. Apa yang boleh saya katakan, Allah ambil suami saya tapi Allah gantikan muka seiras dengan arwah. Hebat aturan Allah. 

"Terima kasih kepada semua yang selalu mendoakan kebahagiaan saya dan anak. Semoga anda semua terus menyokong perniagaan kami juga," katanya. 

Sebelum ini, Hidayah secara terbuka berkongsi video di TikTok memaparkan dia dan Amsyar sedang makan bersama.

Hidayah (kanan) mengakui bukan mudah untuk mencari pengganti arwah Abam. 

Dalam hantaran dibuat, Hidayah turut menulis kapsyen terima kasih berserta emoji hati rona mereka. 

Untuk rekod, Hidayah dan Abam atau Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Redzuan mendirikan rumah tangga pada 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia enam tahun. 

Abam meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas pada usia 32 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia