PEMENANG tempat keempat program hiburan Raise The Star Malaysia, Hariz Fayahet menyimpan hasrat untuk menjadi 'male powerhouse vocalist' atau lebih dikenali sebagai penyanyi yang mempunyai kemampuan vokal luar biasa.
Kata Hariz atau Fadhli Hari Fayahet, 31, dia ingin menjadi sehebat penyanyi lelaki seperti Ajai, Datuk Jamal Abdillah dan Anuar Zain yang menjadi inspirasi dalam industri hiburan.
"Impian saya mahu menjadi male powerhouse vocalist seperti Ajai, arwah Datuk Sudirman, Jamal Abdillah, Anuar Zain dan Hafiz Suip.

Hariz mahu merealisasikan impian merakamkan lagu ciptaan sendiri.
"Kalau orang cakap fasal vokal tinggi, saya mahu dikenali sebagai penyanyi tersebut kerana itu kekuatan saya daripada segi vokal, " katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Hariz memberitahu dia kini sedang mempersiapkan langkah dalam memulakan kerjaya seni selepas tamat program Raise The Star Malaysia dengan menghasilkan lagu ciptaan sendiri.
"Matlamat paling besar saya adalah untuk mencuba menulis lagu sendiri dan sasarannya sebelum pertengahan tahun depan saya sudah lancar lagu saya sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: Dipuji vokal hebat tapi kewujudan Hariz Fayahet masih tidak disedari, 4 tahun usaha tunjuk bakat
ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi berbakat dipandang sepi? Hariz Fayahet pertaruhkan ‘Lemas’
"Saya mahu mencabar diri dan cuba sesuatu yang baru serta segar daripada tulisan saya sendiri," ujarnya.
Menurut Hariz, sepanjang penglibatannya dalam program hiburan tersebut, dia mengambil peluang untuk menimba ilmu daripada barisan juri seperti penyanyi Aina Abdul, Shila Amzah, Ajai dan Audi Mok.
"Sepanjang menyertai program realiti ini saya banyak minta tip daripada Aina, Shila, Ajai dan Audi Mok. Sepanjang saya dalam industri sejak 2018, saya sudah banyak kenalan (komposer).
"Sebenarnya saya sudah ada melodi lagu tetapi belum berani untuk diketengahkan. Saya rasa selepas saya sudah dapat platform di Raise The Star Malaysia ini, saya perlu menjadikan ia satu realiti. Insya-Allah semoga menjadi kenyataan," jelasnya.
Menjawab persoalan sesetengah pihak yang menyangka dirinya menyepi selepas memenangi Bintang RTM 2018, Hariz menegaskan bahawa dia masih aktif berkarya dan terus menerbitkan lagu baharu hampir setiap tahun.

Hariz merupakan pemenang tempat keempat Raise The Star Malaysia.
"Saya rasa tak timbul soal industri seni tidak menerima kehadiran saya sebagai anak seni. Cumanya mungkin orang belum betul-betul kenal saya.
"Kalau ikutkan setiap tahun dari 2018 saya keluarkan single baharu. Kalau orang nak kata saya menghilang selepas memenangi program nyanyian sebelum ini memang tak betul.
"Saya memang ada mengeluarkan produk (lagu) cuma mungkin belum mendapat perhatian. Bagi saya itu semua bergantung dengan rezeki. Mungkin saya boleh perbaiki dan jadi lebih baik," katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


