KOMPOSER Saari Amri tampil membuat permohonan maaf kepada gitaris kumpulan Barbarik, JoBranko selepas membuat kenyataan tidak benar dalam sebuah sesi temu bual sebelum ini.
Kesal dengan tindakan yang dibuat, Saari, 59, berharap orang ramai tidak menuding jari terhadap JoBranko.
“Saya secara khilaf telah menyebut nama JoBranko dalam temu bual tersebut, walhal dia langsung tidak tahu menahu dan tidak terlibat dalam isu yang saya ceritakan.
Saari mengaku silap keluarkan kenyataan terhadap JoBranko.
“Saya amat kesal dan mohon maaf secara terbuka kepada Jo serta semua pihak yang terkesan akibat kekhilafan saya itu,” katanya.
Jelas Saari, dia tiada niat mahu memfitnah atau mengaibkan mana-mana individu, sebaliknya sejak mengalami kemalangan serius pada 1997, ingatannya semakin tidak kuat.
Malah Saari menghargai ketelusan hati JoBranko yang sudi menerima permohonan maaf dilakukan tanpa perlu memanjangkan isu berkenaan.
“Saya mengaku selepas mengalami kemalangan, saya selalu terlepas cakap tanpa memikirkan kesahihan kata-kata saya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dah dua kali ditawar gelaran Datuk, Saari Amri terpaksa tolak bimbang diri berubah
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Saari Amri anggap Hattan tak perlu mohon maaf, calar imej sebagai penyanyi senior
“Saya amat menghargai keikhlasan JoBranko yang sudi menerima permohonan maaf saya dan memilih untuk menyelesaikan isu ini secara baik.
“Saya berharap kenyataan ini dapat menghentikan sebarang spekulasi serta menjaga nama baik beliau sebagai anak seni yang dihormati,” jelasnya.
Sementara itu, peguam kepada JoBranko iaitu Colin Victor George, memberi peringatan tegas kepada orang awam, agar lebih berwaspada dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk fitnah.
Tambah Colin, jika perkara tersebut masih berlaku, pihaknya tanpa teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang.
Saari bersama Colin, peguam JoBranko.
“Kami sedang memantau kenyataan-kenyataan fitnah yang berlegar di media sosial dan sudah mengenal pasti beberapa individu yang membuat kenyataan di media sosial yang mengaibkan JoBranko dan tindakan sewajarnya sudah diambil.
"Penyebaran fitnah bukan sahaja membawa implikasi undang-undang, malah mencemarkan nama baik individu yang tidak bersalah,” tegasnya.
Sebelum ini Saari menerusi temubual di platform YouTube THE Gegar tanpa sengaja menyebut nama JoBranko sebagai individu yang terlibat dalam isu pembelian premis atau studio rakaman.
Bagaimanapun selepas disiasat dan disemak, perkara tersebut sama sekali tidak benar.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube