suria

Filem adiwira Malaysia tak gagal, Ahmad Idham kata Superman dan Batman pun ambil masa lama sebelum berjaya

Idham anggap filem adiwira di Malaysia tidak gagal.

MESKIPUN filem animasi adiwira dilihat lebih mendapat tempat di hati penonton tempatan berbanding filem aksi lakonan sebenar, pengarah Dr Ahmad Idham tetap menyokong dan memuji usaha produksi tempatan yang berani menghasilkan karya bergenre tersebut.

Menurut Idham atau nama sebenarnya Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 51, penerimaan terhadap filem adiwira bukan mudah, bahkan industri luar negara juga memerlukan tempoh yang panjang sebelum genre itu benar-benar diterima khalayak.

Idham percaya filem adiwira di Malaysia ambil masa sebelum diterima.

"Kita perlu puji usaha produksi tempatan yang cuba menghasilkan filem adiwira kerana ia bukan perkara mudah. Filem sebegini memang ambil masa sebelum berjaya.

"Filem adiwira luar negara seperti Superman dan Batman pun ambil masa lama, mereka mula dengan komik, kartun bersiri kemudian barulah ke layar perak," katanya ketika dihubungi mStar.

Terbaharu kutipan filem Keluang Man dilaporkan tidak mencapai RM4 juta meskipun kos keseluruhan pembikinan naskhah itu menelan belanja sebanyak RM13 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: Filem lama kembali viral, Ahmad Idham minta pandangan anak lelaki untuk kekal relevan

ARTIKEL BERKAITAN: Impak Maksima 2 penentu karier Ahmad Idham, sedia undur diri jika gagal

Berkongsi pandangan peribadi, Idham merasakan perkara itu bukan satu kegagalan kerana kutipan filem tidak membuktikan filem tersebut tidak berjaya. 

Tambah Idham dia percaya pihak produksi Astro Shaw mempunyai perancangan tersendiri di masa hadapan.

"Bagi saya filem Keluang Man tidak gagal, jangan menjatuhkan hukum hanya sebab jumlah kutipan filem itu.

Filem Keluang Man dilaporkan mencatat kutipan RM4 juta.

"Sekarang banyak platform lain dan saya sendiri percaya Astro Shaw ada perancangan tersendiri.

"Saya hormat Astro kerana mereka berani hasilkan filem adiwira, kalau tak cuba sampai bila-bila industri filem kita berada di takuk yang sama," jelasnya.

Selain Keluang Man, antara filem adiwira yang dihasilkan produksi tempatan adalah Cicak Man, Badang, Kapoww!! dan Mantera.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain