suria

Avaa Vanja risau keluarga di Qatar, kakak cerita nampak peluru berpandu depan mata

Avaa (kanan) bimbang mengenangkan keadaan kakaknya (tiga dari kiri) di Doha, Qatar.

PELAKON Avaa Vanja meluahkan kebimbangan apabila menerima panggilan daripada kakaknya yang kini berada di Doha, Qatar berhubung kemelut antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran. 

Menurut Avaa atau Avaa Vanja Mohamad Ramli, 45, kakak sulungnya dikenali sebagai Rassa Munira berkongsi detik cemas apabila melihat peluru berpandu di depan mata. 

"Subuh semalam (Isnin) saya terima kiriman mesej dan panggilan tak dijawab. Saya terus hubungi kakak dan bertanyakan apa yang berlaku.

"Waktu itu kakak dalam keadaan panik dan menangis, dia bercerita ketika memandu nampak peluru berpandu. 

Avaa berdoa agar kakaknya berada dalam keadaan selamat di Doha.

Avaa berdoa agar kakaknya berada dalam keadaan selamat di Doha.

"Bayangkan selama ini kita hidup dalam keadaan aman tiba-tiba berdepan situasi seperti itu," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.

Dalam pada itu, Avaa meluahkan kebimbangan sekiranya dia kehilangan kakak sulungnya itu yang sudah 15 tahun menetap dan bekerja di Doha.

"Kakak saya memang sudah lama menetap di Doha, dia berseorangan di sana. Selalunya saya yang akan ulang-alik ke sana untuk menziarahinya. 

"Apa yang menakutkan saya, kakak adalah tulang belakang dalam keluarga kami. Dia yang banyak memberi dan menyokong kehidupan keluarga saya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Kekal istiqamah ‘perang’ dalaman, Avaa Vanja pernah terdetik buka hijab

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 13 tahun tapi ada potensi sebagai model, Avaa Vanja sokong minat anak

"Sebelum ini kami sudah sepakat sebagai kakak sulung dia akan menjaga kebajikan keluarga dan saya akan menjaga ibu. Jadi dalam keadaan seperti ini, saya rasa takut sangat jika kehilangan kakak saya," ujarnya. 

Berkongsi lanjut situasi di Qatar, Avaa memberitahu Rassa Munira turut menceritakan pengalaman merasai gegaran kuat ketika kemelut itu berlaku. 

"Kata kakak saya dia tidak mendengar letupan tetapi lebih kepada rasa gegaran yang sangat kuat sampaikan ada barangan di rumah jatuh daripada meja. 

"Tapi kakak saya cakap apabila lihat situasi itu di langit (peluru) rasa macam tak percaya. Selalunya kita hanya lihat di media sosial kan," ujarnya. 

Waktu itu kakak dalam keadaan panik dan menangis, dia bercerita ketika memandu nampak peluru berpandu. 

AVAA VANJA 

PELAKON

Avaa bagaimanapun memberitahu keadaan di Qatar sudah semakin stabil susulan tindakan pantas yang dilakukan kerajaan negara tersebut. 

Pelakon berkenaan turut berharap agar semua rakyat Malaysia yang masih berada di sana segera mendapatkan perlindungan daripada kedutaan negara.

"Semalam (Isnin) pun kakak saya memang sudah kemaskan barang sekiranya mereka perlu pulang ke tanah air tapi Alhamdulillah kerajaan Qatar bertindak dengan sangat pantas. 

"Saya rasa kerajaan mereka sudah bersiap sedia. Hari yang sama juga (Isnin) kakak saya boleh pergi kerja seperti biasa," jelasnya. 

Pada Selasa lalu, Iran melancarkan enam peluru berpandu ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar. 

Rassa Munira (kiri) berdepan detik cemas apabila terlihat bedilan peluru berpandu.

Rassa Munira (kiri) berdepan detik cemas apabila terlihat bedilan peluru berpandu.

Beberapa letupan kedengaran di Doha dan susulan itu negara berkenaan menutup ruang udara kerana ketegangan yang berlaku. 

Pun begitu, kira-kira empat jam setengah kemudian, Qatar menarik balik sekatan ke atas ruang udaranya dan kembali beroperasi seperti biasa.

Untuk rekod, Iran mengeluarkan ancaman selepas pengebom AS menjatuhkan bom pemusnah bunker ke atas tapak nuklear bawah tanah negara itu hujung minggu lalu. 

Presiden AS iaitu Donald Trump secara terbuka menyuarakan kemungkinan untuk menumbangkan kerajaan Iran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain