suria

Daripada pemandu e-hailing ke konti radio, Irsyad ‘suara’ baharu Suria FM

Irsyad mahu jadi penyampai radio sejak kecil lagi

PENDENGAR setia Suria FM pasti perasan dengan 'kemunculan' suara baharu di corong radio sejak malam Isnin menerusi segmen Kafe Suria.

Irsyad Tarudin, 26, jejaka berasal dari Sungai Petani, Kedah ini sebenarnya memang sejak kecil memasang impian bergelar seorang deejay.

Cerita Irsyad, sejak kecil dia memang minat mendengar radio malah masih rasa tidak percaya impian duduk di konti terlaksana.

Imbaunya, perjalanan selama sejam dari rumah ke sekolah yang terletak di Kulim membuatkan dia banyak mengisi masa dengan mendengar radio.

Irsyad mahu ceriakan hari pendengar Suria FM.

“Apabila setiap hari mendengar radio ketika perjalanan ke sekolah, perasaan ingin tahu dan minat bergelar deejay itu timbul dalam diri.

“Pada saya kerjaya ini menarik kerana penyampai radio membuatkan kita sebagai pendengar ceria di pagi hari,” katanya kepada mStar.

Bercerita lanjut mengenai minatnya, Irsyad memberitahu keputusan melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu membuka peluang dia mendekati dan mendalami tentang karier sebagai penyampai radio. 

ARTIKEL BERKAITAN: Suria FM buat rombakan besar, segmen DJ Lin bersiaran hujung minggu sahaja

ARTIKEL BERKAITAN: Suria FM catat 3.3 juta pendengar seminggu, segmen DJ Lin tunjuk peningkatan tertinggi antara radio berbahasa Melayu

Walaupun menimba ilmu di peringkat sarjana dalam bidang akuakultur di Universiti Putra Malaysia (UPM) namun itu tidak menghalangnya mengejar impian sebenar.

Malah Irsyad memberitahu dia juga pernah menjadi penyampai sambilan di sebuah stesen radio swasta bagi mencari pengalaman dan pendapatan sampingan.

Daripada situ, pelbagai peluang mula muncul di depan mata termasuk uji bakat sebagai penyampai radio baharu di Suria FM.

Sudah tentu saya juga mengagumi DJ Lin.

IRSYAD TARUDIN

PENYAMPAI RADIO

“Alhamdulillah saya dan beberapa rakan deejay dan pempengaruh dipanggil menghadiri uji bakat di Suria FM.

“Saya masih ingat kami ditemu bual sendiri oleh DJ Lin dan Naim Hashim tetapi kami tidak diberitahu uji bakat untuk segmen apa dan Alhamdulillah rezeki saya dapat kendalikan Kafe Suria,” ujarnya.

Tidak hanya bergelar pelajar sarjana dan deejay sambilan, Irsyad memberitahu bagi menampung kehidupan dia turut bergelar seorang pemandu e-hailing.

Irsyad ambil ilmu dari penyampai radio yang lain.

Menjadikan Feeya Iskandar atau Cik Piah dan DJ Lin sebagai sumber inspirasi, Irsyad menganggap kedua-dua penyampai ini mempunyai kelebihan dalam menarik minat pendengar Suria FM. 

“Saya banyak merujuk kepada cara penyampaian Cik Piah yang mengendali segmennya seorang diri tetapi cara dia bersembang buatkan kita tidak berasa bosan. 

“Sudah tentu saya juga mengagumi DJ Lin kerana dia ada aura dan tarikan tersendiri. 

Irsyad mahu jadi penyampai radio sejak kecil lagi.

Tiga tahun Irsyad kumpul pengalaman jadi penyampai.

“Itulah yang menjadi inspirasi saya bagi mengekalkan pendengar lama dan menarik peminat baru di Suria FM,” katanya. 

Kafe Suria diinspirasikan daripada suasana kafe moden yang mesra, santai dan penuh dengan elemen interaksi dan informatif. 

Irsyad tampil sebagai ‘barista maya’ yang menyambut dengan ramah, berbual dengan tenang serta mendengar dengan empati dan menceriakan malam pendengar.

Kafe Suria bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain