MELIHAT kepada kesihatan ibu tersayang yang semakin uzur membuatkan pelakon Azhan Rani bimbang meninggalkan ibunya seorang diri di rumah dalam tempoh terlalu lama.
Apatah lagi kata Azhan atau Azhan Abdul Rani, 49, ibunya itu bukan sahaja mengalami masalah tekanan darah rendah tetapi berisiko terkena serangan angin ahmar pada bila-bila masa.
Perkara itu membuatkan dia ada perasaan berbelah bahagi namun perlu keluar mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan mereka berdua.
Azhan mahu terus berbakti pada ibu tercinta.
“Ibu saya sekarang sudah semakin uzur, umur dia pun sudah masuk 79 tahun.
“Dia ada tekanan darah rendah selain berpotensi terkena serangan strok. Berat badannya juga hanya tinggal 29 kilogram.
“Jadi saya perlu bijak bahagikan masa untuk jaga dan keluar bekerja untuk cari rezeki,” katanya kepada mStar.
Walaupun berat hati meninggalkan ibunya di rumah, kata Azhan dia bekerja demi memberikan kehidupan selesa buat syurganya itu.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Pempengaruh ‘mabuk spotlight’, Azhan Rani nasihat graduan jangan melatah
ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh bulan Azhan Rani mengemis bayaran, buang sikap mudah percaya termasuk kawan
Malah, Azhan berjanji pada diri sendiri akan terus menjaga ibunya iaitu Salmah Budin sehingga akhir hayat.
"Kalau boleh saya nak luangkan masa banyak dengan ibu, tapi kalau tak bekerja siapa pula nak tanggung perbelanjaan kami?
"Kemampuan orang berbeza-beza, apa saya mampu itu yang saya berikan pada ibu.
"Selagi ibu saya hidup saya akan terus berkhidmat menjaga dia sehingga akhir hayat," jelasnya.
Azhan dalam telefilem Bilal dan Abah.
Dalam perkembangan lain, Azhan bakal muncul dalam telefilem terbaharu berjudul Bilal dan Abah.
Telefilem itu akan disiarkan menerusi saluran TV AlHijrah bermula 8 Jun depan.
Selain Azhan pelakon lain yang turut membintangi telefilem itu ialah Harun Hashim, Ummi Nazeera dan Luqman Hafidz.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!