suria

“Orangnya ‘happy go lucky’ dan murah senyuman” - Rakan selebriti terkejut berita pemergian Syazlin Zainal 

Rakan selebriti turut merasai kehilangan Syazlin.

PEMERGIAN pelakon Syazlin Zainal pada Khamis mengejutkan banyak pihak termasuk peminat dan rakan selebriti yang pernah bekerjasama dengannya.

Aktres Elisya Sandha, 23, yang pernah bergandingan dengan Allahyarham menerusi drama Oh My Hantaran turut meluahkan rasa sedih atas berita kematian Syazlin.

Menurut Elisya, Syazlin mempunyai perwatakan baik dan tidak lokek dengan senyuman setiap kali mereka bertemu.

"Syazlin Zainal, saya pernah shooting dengan awak dulu dan tidak ada sekali pun awak tak pernah senyum kepada saya.

alin1 - 1

Antara coretan Elisya Sandha.

"Beberapa hari lagi merupakan ulang tahun kelahiran awak. Saya tak percaya awak pergi secepat ini," tulisnya di Insta Story.

Dalam pada itu, pelakon Hun Haqeem sependapat dengan Elisya, mengatakan pelakon wanita itu seorang yang sangat pemurah dengan senyuman.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon drama 'Oh My Hantaran' Syazlin Zainal meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Adik kepada penyanyi Backstreet Boys, Aaron Carter meninggal dunia pada usia 34 tahun

"Dia banyak tersenyum di set penggambaran dan selalu ingin memberikan yang terbaik. Berita kematiannya itu benar-benar mengejutkan kami," tulisnya.

Aktor Andy Teh turut berkongsi kesedihan atas pemergian Syazlin dan memuat naik beberapa foto dan video bersamanya di Instagram.

Kata Andy, dia akan sentiasa merindui sahabatnya itu dan menyifatkan Syazlin seorang yang sentiasa ceria.

"Awak pasti akan dirindui Alin. Seorang kawan yang baik, happy go lucky dan kami sentiasa saling menyokong.

alin22 - 1

Syazlin dikatakan seorang yang sering tersenyum.

"Dia selalu beri saya komen-komen positif. Saya terkejut mendengar berita ini," tulisnya.

Dalam perkembangan lain, sepupunya iaitu Trisya Azahar memohon orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai kematian Syazlin.

"Saya mohon kepada semua berhenti buat sebarang kenyataan. Tolong hormat pihak keluarga beliau.

"Terima kasih semua atas doa dan minta ampunkan dosa beliau dan halalkan segalanya," kongsinya di Twitter.

Menurutnya lagi, punca kematian masih dalam siasatan dan jenazah kini masih berada di hospital.

Trisya turut memberitahu proses pengebumian dan majlis tahlil akan diberitahu kelak.

Untuk rekod, Syazlin pernah membintangi drama Sitik Tok dan Oh My Hantaran.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain