suria

Adik kepada penyanyi Backstreet Boys, Aaron Carter meninggal dunia pada usia 34 tahun

Aaron Carter ditemukan sudah tidak bernyawa pada Sabtu.

PENYANYI rap Aaron Carter ditemukan tidak bernyawa di dalam bilik mandi kediamannya yang terletak di Lancaster, California pada Sabtu.

Kematian Aaron, 34, disahkan oleh wakil keluarga namun masih tiada maklumat rasmi mengenai punca penyanyi itu meninggal dunia.

Memetik laporan TMZ, polis daerah Los Angeles tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 11 pagi selepas menerima laporan seorang lelaki ditemukan lemas di dalam tab mandi.

aaron2 - 1

Punca kematian Aaron masih lagi disiasat.

Sumber memberitahu, seorang detektif turut hadir di tempat kejadian namun belum mempunyai sebarang maklumat atau bukti berlakunya jenayah.

Sementara itu, menerusi foto yang diperoleh TMZ, kelihatan kenderaan paramedik di luar kediaman mendiang selain dikelilingi pita bagi menghalang orang ramai mendekati premis berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami Salamiah Hassan meninggal dunia selepas 2 bulan berumah tangga

ARTIKEL BERKAITAN: Pemain bass kumpulan Ella & The Boys, Ayie meninggal dunia akibat masalah jantung

Aaron merupakan adik kepada ahli kumpulan terkenal Backstreet Boys, Nick Carter, 42.

Penyanyi ini mula mencipta nama pada akhir 1997 dengan melancarkan album pertamanya ketika dia hanya berusia 9 tahun.

Album tersebut terjual lebih sejuta salinan, manakala album kedua berjudul Aaron’s Party mendapat pengiktirafan tiga kali platinum di Amerika Syarikat.

aaron1 - 1

Aaron sudah mencipta nama sejak usia 9 tahun lagi.

Sebelum ini, nama Aaron banyak terpalit dengan masalah undang-undang selain pernah membuat kemunculan dalam rancangan The Doctors beberapa tahun lalu mendedahkan kesihatan mentalnya terjejas selain terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Mendiang juga pernah beberapa kali dihantar ke pusat pemulihan disebabkan masalah ketagihan dadah dialami.

Malah hubungan dengan ahli keluarga termasuk Nick turut bermasalah dan mereka tidak lagi berkomunikasi di antara satu sama lain.

Aaron meninggalkan seorang anak lelaki yang baharu berusia 10 bulan iaitu Prince.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain