suria

[VIDEO] Selepas 8 tahun bersengketa naik turun mahkamah, Shila Amzah akhirnya bertentang mata dengan wartawan

TAK guna bermasam muka, sepatutnya ia sudah selesai lama.

Itu mungkin ungkapan yang sesuai dituturkan antara penyanyi Shila Amzah dengan sekumpulan wartawan hiburan yang mengambil masa lama iaitu kira-kira lapan tahun untuk menyelesaikan persengketaan.

Bagi melupakan sengketa lalu yang antara lain menjadi penyebab Shila seolah-olah ‘ditamatkan’ riwayat dalam kebanyakan penerbitan media tempatan, penyanyi itu akhirnya mengambil langkah untuk bertentang mata dengan sekumpulan pengamal media.

Pertemuan dengan individu yang pernah beliau kaitkan lalu tercetusnya hubungan dingin sehingga membawa ke mahkamah adalah satu detik paling aman bagi penyanyi ini yang berterus terang mengaku, wartawan penting dalam hidupnya kerana mereka ibarat sahabat yang banyak membantu di awal permulaan kerjayanya.

Bertempat di Restoran Puteri, Kuala Lumpur, pertemuan itu diatur oleh syarikat rakaman Indigital sebagai orang tengah bagi memenuhi permintaan Shila untuk menyelesaikan kemelut yang melanda.

Shila 2

Shila memohon maaf kepada media.

Pertemuan pertama kali ini sedikit sebanyak dapat meleraikan segala perselisihan faham dan kekeliruan yang timbul membabitkan penyanyi itu dengan teman media.

Bagi Shila ia merupakan hari bersejarah dalam hidupnya kerana dapat menyelesaikan isu salah faham yang berlaku setelah sekian lama dan dia ingin memulakan kehidupan baharu yang lebih tenang tanpa sebarang permasalahan.

"Sebenarnya hari ini memang sejarah dalam hidup saya dimana kita dapat mengenepikan segala permasalahan atau salah faham sebelum ini, serta mencapai kata sepakat untuk ukhwah bersama.

ARTIKEL BERKAITAN: Duit saman wartawan boleh beli rumah... Shila Amzah menyesal dan mohon maaf

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Masa bercinta dulu dah tahu jalan cerita tak ‘best’, Shila Amzah tak nampak boleh kembali dengan Sharnaaz Ahmad

Keputusan ini dibuat tiga tahun sebelum ini setelah saya rasa mungkin sudah terlalu lama berada bawah jagaan satu pihak.

SHILA AMZAH

PENYANYI

"Sebelum ini saya pernah keluarkan kenyataan bahawa saya ingin hidup tenang dan tidak mahu panjangkan lagi persengketaan ini, kerana kita tidak tahu berapa lama lagi kita akan hidupkan jadi tidak mahu bermusuh dengan sesiapa dan ingin meminta maaf," katanya kepada sekumpulan wartawan.

Antara yang hadir dalam pertemuan itu termasuklah Timbalan Presiden, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia, Niezam Abdullah, bekas Editor Astro Gempak, Maliah Surip, Editor Hiburan Kosmo, Tengku Suzana Raja Hamat, Editor Hiburan Harian Metro, Riadz Radzi, dan Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed.

Jelas Shila, selama lapan tahun ini, dia tidak mempunyai ruang untuk menjernihkan sengketa yang ada tidak ada keberanian kerana ada halangan tertentu.

“Saya tahu, ada kesilapan pada pihak saya tapi pada ketika itu saya rasa macam tak ada peluang untuk ke depan tidak seperti keberanian macam saya buat sekarang ini (kerana dahulu perlu mematuhi setiap keputusan pihak pengurusan),” katanya

Malah, dia juga menganggap permusuhan ini bagaikan musibah besar kerana terpaksa berhabis ratusan ribu ringgit untuk naik turun mahkamah.

Shila 3

Shila rasa lebih tenang bila memaafkan dan dimaafkan.

“Ya, saya berhabis banyak wang... Ia sesuatu yang merugikan,” katanya.

Dalam pada itu, Shila turut memberitahu bahawa dia kini tidak lagi diurus oleh keluarganya seperti dahulu dan kini mengambil langkah untuk berada bawah pihak pengurusan yang lain bagi memudahkan perjalanan kerjaya seninya.

"Hubungan ayah dengan anak memang tidak akan putus, tapi daripada segi kerja memang ya, saya tidak lagi bersama mereka dan berada bawah pengurusan lain yang ada sedikit kelonggaran dan kepercayaan untuk melakukan perkara berbanding sebelum ini.

"Faktor utama memilih untuk tidak lagi bersama kerana pertamanya saya sudah lama menyanyi secara professional dan ada album pada sekitar tahun 2000.

"Keputusan ini dibuat tiga tahun sebelum ini setelah saya rasa mungkin sudah terlalu lama berada bawah jagaan satu pihak dan saya inginkan sesuatu yang baharu dalam karier supaya boleh belajar perkara lain.

"Umur saya sudah masuk 32 tahun, jadi banyak perkara yang ingin dipelajari seperti berkolaberasi dengan artis lain dan sebagainya," katanya.

Shila 4

Shila tampil lagu baharu berjudul Bahagiakan Dia bersama Liza Hanim.

Dalam pada itu Shila agak terkejut selepas dimaklumkan bahawa rakan-rakan media yang pernah dikaitkan sebenarnya telah lama berhasrat meleraikan permasalahan yang berlaku namun tidak mendapat kerjasama daripada pihaknya.

Usaha itu berlaku sebaik sahaja satu prosiding mahkamah berakhir apabila wakil kepada wartawan hiburan terlibat menemui salah seorang ahli keluarganya, menghulurkan tangan untuk meleraikan isu tersebut tetapi disambut dingin.

Dalam perjumpaan itu, Shila turut berkongsi projek lagu terbaharu duet bersama penyanyi Liza Hanim berjudul Bahagiakan Dia yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Berkongsi mengenai lagu berkenaan, Shila berkata dia kini dalam proses untuk menyiapkan lagu tersebut dan teruja kerana dapat bekerjasama bersama idolanya dalam menghasilkan lagu ini.

Untuk rekod, Shila Amzah pada tahun 2015 menyaman Kosmo selepas akhbar itu melaporkan penyanyi tersebut membuat persembahan dengan tajaan sebuah syarikat judi.

Dalam saman itu Shila Amzah kalah dan diperintahkan membayar kos sebanyak RM20,000 kepada akhbar itu selaku defendan.

TONTON VIDEO TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain