suria

Aliff Aziz terkejut ada manusia hidup dalam timbunan sampah, rasa syukur dengan kehidupan sekarang

Aliff harap drama ini dapat membuka mata banyak pihak.

PENGALAMAN berada di perkampungan sampah yang terletak di Sandakan, Sabah membuatkan penyanyi dan pelakon Aliff Aziz lebih menginsafi diri dan tahu erti bersyukur.

Aliff yang berada di sana bagi menjalani penggambaran telemovie Sekolah Sampah juga terkejut apabila pertama kali melihat kewujudan sebenar kediaman dalam sebuah kawasan timbunan sampah yang besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Aziz bimbang video imamkan solat ganggu niat baiknya

"Saya datang ke lokasi dan kemudian pulang ke hotel selepas selesai penggambaran. Bayangkan kehidupan mereka yang tinggal di sana. Memang terkejut apabila melihat keadaan sebegitu wujud.

"Berada di sana membuatkan saya insaf kerana ada orang yang hidup susah begitu. Ia juga jadikan saya lebih bersyukur dengan kehidupan yang dimiliki," katanya kepada mStar.

Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Aziz, 31, berkongsi pengalaman tersebut ketika sidang media drama Sekolah Sampah yang dijalankan secara atas talian pada Rabu.

aliff aziz 1

Aliff akui cabaran drama ini besar untuk membuatkan penonton faham isu yang dihadapi.

Mengulas lanjut keadaan yang terjadi, Aliff berharap drama yang bakal ditayangkan pada 28 Mei di saluran Astro Citra itu dapat membuka mata banyak pihak bagi menghulurkan bantuan.

"Isu yang dipaparkan dalam drama ini adalah sesuatu yang sensitif dan ia benar-benar wujud. Menjadi tanggungjawab saya sebagai pelakon untuk membuatkan penonton dapat terima apa yang ingin diketengahkan.

"Saya harap selepas drama ditayangkan, ia dapat membuka mata banyak pihak untuk menghulurkan bantuan. Masalah berlaku apabila mereka yang tinggal di situ tidak menerima pendidikan sewajarnya.

Bayangkan kehidupan mereka yang tinggal di sana. Memang terkejut apabila melihat keadaan sebegitu wujud

ALIFF AZIZ

PENYANYI/PELAKON

"Saya melihat sendiri bagaimana anak-anak di sana mengejar lori sampah dan mengutip apa sahaja barang keperluan untuk digunakan atau dijual semula," ceritanya.

Sementara itu, Ebi Kornelis yang bertindak sebagai pengarah memberitahu dia tidak ada masalah diberi tanggungjawab menghidupkan cerita ini walau menerima tawaran di saat akhir.

Kata Ebi yang juga merupakan bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima, dia sendiri melalui pengalaman membesar dalam keadaan susah di mana hidup tanpa bekalan elektrik.

sekolah sampah 1

Ebi (kanan), merasa senang diberi kepercayaan sebagai pengarah.

"Cerita ini amat dekat dengan hati saya kerana saya sendiri membesar di kawasan yang serba kekurangan. Saya tahu perasaan mereka dan tidak ada masalah untuk menghidupkan jalan cerita.

"Cabaran utama ketika penggambaran adalah perlu 'bermain'dengan sampah dan jalan di sekitar kawasan tersebut juga membuatkan kru dan pelakon mudah letih," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain