suria

PETRONAS tampil kelainan, ‘366’ angkat tema perayaan di Malaysia

Dari kiri: Aizat (penyanyi OST), Kabir Bhatia (pengarah), Jehan Miskin (Penerbit Eksekutif), Pengurus Besar Jabatan Pengurusan Komunikasi, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS Joseph Edwin, Azri Sabri, Lee Qi and Azwan Kombos.

SETIAP kali Hari Raya Aidilfitri pastinya iklan daripada PETRONAS antara yang ditunggu-tunggu, tidak pernah gagal memberikan yang terbaik, kali ini syarikat korporat itu tampil dengan drama bersiri perayaan berjudul 366.

Apa yang menarik, drama inspirasi daripada suka duka kehidupan sejak pendemik Covid-19 ini mengangkat tema perayaan yang disambut di Malaysia.

Menerima sentuhan pengarah hebat Kabir Bhatia, 366 mengisahkan tentang semangat keberanian bersama dalam meneroka peluang kedua di tahun baharu.

Bermula dengan Episod 1: Tahun Baru Cina Hari Ke-32, Episod 2: Raya Hari Ke-123, Episod 3: Kaamatan Hari Ke-150, Episod 4: Gawai Hari Ke-152, Episod 5: Hari Merdeka Hari Ke – 243, Episod 6: Deepavali Hari Ke – 297 dan Episode 7: Krismas Hari Ke – 365.

Drama bersiri perayaan ini akan ditayangkan menerusi saluran YouTube dan Facebook rasmi PETRONAS.

Petronas 2

Kabir Bhatia sebagai pengarah drama bersiri perayaan 366.

Bagi Episod 1: ‘Hari Ke-32’ menceritakan kisah Zhi Yi lakonan Lee Qi dan perjalanannya dalam membuat pilihan, berdepan dengan kisah silam, sambil meneruskan perjalanan hidupnya.

Manakala, Episod 2: 'Hari Ke-123' pula tertumpu kepada watak Poji lakonan Azri Sabri yang lebih fokus kepada menerokai zaman kanak-kanak, gambaran tentang watak dan pencintaannya dengan Ayu.

Selain Lee Qi dan Azri, drama bersiri itu juga diterajui oleh empat pelakon utama iaitu Angeline Tan, Syarafina Abdullah, Maheshwaran Manikam dan Kenji Sawahii.

Selaku Penerbit Eksekutif, Jehan Miskin berkata barisan pelakon drama bersiri itu dipilih selepas mereka melalui uji bakat yang dilakukan.

Menurut Jehan, 42, pemilihan itu dibuat berdasarkan kredibiliti mereka sebagai pelakon bukan semata-mata dilihat menerusi populariti.

"Apabila kami mula adakan uji bakat, kami mahu mencari pelakon yang memang boleh membawa watak dalam drama bersiri perayaan itu. Itu keutamaan dalam pemilihan pelakon.

Sebab keutamaan kami nak sampaikan cerita dengan baik.

JEHAN MISKIN

PENERBIT EKSEKUTIF

"Kedua, famous itu satu bonus. Kalau tak... tak apa. Sebab keutamaan kami nak sampaikan cerita dengan baik. Malah, untuk watak kecil pun kena masuk kelas lakonan online yang kami buat sebelum penggambaran.

"Untuk berikan cerita yang terbaik sebab itu kena cari pelakon yang betul," kata Jehan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, biarpun berdepan dengan ujian beberapa tahun lalu, namun kini rakyat Malaysia lebih semangat dan berani untuk meneruskan kehidupan harian dengan tujuan yang baharu.

"Baru beberapa bulan masuk 2022, tetapi kita sudah boleh melihat rakyat Malaysia meneruskan kehidupan harian mereka dan mencari tujuan baru, mengejar impian dan meninggalkan masa lalu.

“Perkara terbaik yang boleh kita lakukan ialah terus maju, secara individu, kolektif dan sebagai sebuah negara.

Petronas 3

Poji (Azri) kongsi momen bersama ibunya, pemilik kedai dan pelanggan ketika dia berjaya jumpa cincin yang sesuai untuk Ayu.

“Sebagaimana kita bertemu semula dengan keluarga pada Hari Raya ini, marilah kita memperakui sejauh mana kita telah melangkah, keberanian dan pengorbanan yang kita lakukan dalam beberapa tahun yang lalu.

“Jangan kita ambil mudah dan hargai orang yang kita sayangi,” katanya.

Berpeluang menjadi salah seorang daripada tujuh pelakon utama, aktor Azwan Kombos berkongsi pengalamannya menjalani penggambaran yang menggunakan hampir 70 peratus teknik imej janaan komputer (CGI).

Malah, Azwan atau nama sebenarnya Mohamad Al-Azwan Kombos berkata drama bersiri perayaan itu juga menggunakan khidmat lebih kurang 100 orang kru.

"Penggambaran bermula Disember tahun lalu. Drama ini mempunyai tujuh orang pelakon termasuklah saya. Sejujurnya, saya tak pernah shooting macam ini, rasa seperti shooting di luar negara.

Petronas 4

Azwan bersama pengarah Kabir Bhatia.

"Boleh katakan 70 peratus menggunakan teknik CGI. Kami jalani penggambaran dalam studio. Memang nak tunjukkan teknologi apa yang Petronas ada... memang sangat menakjubkan.

"Walaupun sebelum ini saya pernah berlakon guna teknik CGI tapi bagi saya, kali ini sangat berbeza sebab lagi 'advance'. Saya pun tak pernah bekerja dengan kru yang ramai.

"Kalau biasa kita shooting dalam 20 orang tapi ni macam 100 orang kru juga," kata Azwan kepada mStar.

Azwan ditemui ketika Majlis Iftar dan Tayangan Perdana PETRONAS Raya 2022 366, episod 2: Hari ke-123 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pada Selasa.

Azwan memegang watak sebagai Adam dan kisah wataknya akan ditayangkan dalam Episod 3 366: 'Hari Ke-150' sempena sambutan Hari Kaamatan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain