suria

Bekas Pengarang mStar Zieman meninggal dunia

Zieman meninggal dunia pada Rabu akibat kegagalan buah pinggang.

BEKAS Pengarang mStar, Zieman meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Rabu.

Zieman atau Fauziah Mohd Johar, 60, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 5.30 petang Rabu, akibat kegagalan buah pinggang.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 8 Disember lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk buah pinggang.

Berita sedih itu disahkan oleh anak lelakinya, Qadim Shahir kepada mStar.

Zieman

Zieman pernah menyandang jawatan sebagai Pengarang mStar.

Sementara itu, jenazah Allahyarham dijadual akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam PJS 4, Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor, sebelum solat Zohor pada Khamis.

Allahyarham memulakan karier sebagai wartawan di akhbar New Straits Times (NST) pada pertengahan tahun 1980-an dan kemudian menyertai Star Media Group (SMG) pada Mac 2000.

Ketika bersama SMG, beliau menyandang pelbagai jawatan antaranya Ketua Pemberita, Pengarang mStar dan Timbalan Pengarang The Star sebelum menamatkan perkhidmatannya pada 2019 selepas menerima tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Ketika di mStar, Zieman bertanggungjawab mengendalikan segmen pojok terkenal mingguannya iaitu Kakak Tua yang menyentuh isu-isu semasa dunia hiburan.

Allahyarham juga antara pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Zieman juga semasa hayatnya aktif sebagai penulis lirik dan antara lagu yang pernah mendapat sentuhannya adalah Bayangan Mu Bagai Mimpi - Headwind (1988), Mengapa - Loving Born (1988), Sketsa Cinta - Rina Khan (1991), Sehati Tak Sejiwa -Alleycats (1998), Merinduimu Dalam Senduku - Alleycats (2007), Kasihku Abadi - Headwind (2017) dan Mengapa - Qadeem Shaher (2020).

Selain itu Allahyarham juga pernah menerima Anugerah Tinta Seniman Berita Harian 2005 dan Anugerah P. Ramlee 2002.

Zieman yang merupakan ibu tunggal meninggalkan enam cahaya mata.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain