suria

“Gigi tak reti duduk diam yer” - Ameng dituduh ‘kacip’ ketika menyanyi live, sanggup buat ujian air kencing

Ameng menghiburkan peminat menerusi konsert virtual di Facebook AVOL sepanjang tempoh PKP 3.0.

PENYANYI Ameng berang apabila dituduh mengambil barang terlarang ketika sedang membuat persembahan siaran langsung menerusi laman Facebook Artiste Voice of Legend (AVOL) pada petang Sabtu.

Susulan itu, Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 52, membuat laporan terhadap dua individu yang meninggalkan komen fitnah itu di Balai Polis Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada pagi Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Ameng Spring gembira peminat ‘transfer’ RM1, syukur masih ada rezeki - “Walaupun sikit saya rasa dihargai”

"Saya dah pun buat laporan polis dan menuntut dua individu tersebut untuk buat permohonan maaf secara terbuka kepada saya dalam tempoh 24 jam... kalau datang berjumpa dengan saya lagi bagus, baru gentleman, ini cakap belakang-belakang.

"Masa saya tengah buat persembahan live, mereka boleh komen kata yang saya kembali menagih, sampai cakap saya nampak macam kacip dalam video itu.

"Lepas mereka cakap macam itu, saya tengok views video pun dah menurun... secara tidak langsung ia menjejaskan pendapatan saya yang mengharapkan pada views penonton untuk konsert tersebut," katanya ketika dihubungi mStar.

Ameng buat laporan polis di Balai Polis Danau Kota pada pagi Ahad.

Terdahulu, dua individu menulis komen berbaur fitnah dengan menuduh perlakuan Ameng mengetip gigi ketika sedang menyanyi seolah-olah sedang mengambil dadah.

“Gigi tak reti duduk diam ya, takkan cas balik?”

“Dah agak mesti ada yang perasan, begitu juga saya tapi bersangkan baik jela eh. Kita bekas mesti tahu kan, ” tulis netizen berkenaan.

Masa saya tengah buat persembahan live, mereka boleh komen kata yang saya kembali menagih, sampai cakap saya nampak macam kacip dalam video itu.

AMENG

VOKALIS KUMPULAN SPRING

Dalam pada itu, Ameng menyifatkan tuduhan itu keterlaluan kerana sebagai seorang banduan pastinya isu ini amat sensitif memandangkan dia sudah 12 tahun bersih daripada najis dadah.

"Sudah 12 tahun saya berhenti ambil dadah, rokok pun dah berhenti sejak dulu. Kalau dia tak percaya, saya boleh ambil urine test, buktikan!

Ameng sudah 12 tahun bersih daripada penagihan dadah.

"Bukan senang saya berjuang nak dapatkan kembali kepercayaan peminat selepas empat tahun keluar penjara sebab kita ini bekas banduan.

"Kalau niat dia nak bergurau tapi ia beri kesan yang sangat besar kepada saya," katanya.

Ameng yang merupakan vokalis kumpulan popular 90-an Spring terlibat dalam Konsert Maya RM1 yang menghimpunkan ramai penyanyi popular era sama menghiburkan peminat menerusi konsert secara virtual.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Selain Ameng, turut terlibat dalam konsert tersebut ialah Fredo, Hasnul dan Jatt Ali.

Untuk rekod, Ameng pernah dipenjara lapan tahun dan dikenakan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati itu kemudiannya dibebaskan pada 14 Jun 2016 selepas lima tahun berada dalam penjara kerana rekod berkelakuan baik.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain