suria

Kempen #JanganTontonHaram inisiatif iQiyi banteras cetak rompak digital, penonton jadi ‘mata-mata’ lapor jenayah

iQiyi, Finas, stesen penyiar dan penerbit tempatan berganding bahu dalam menyemarakkan kempen #JanganTontonHaram

PLATFORM penstriman antarabangsa iQiyi mengumumkan pelancaran kempen anti cetak rompak #JanganTontonHaram sebagai inisiatif menangani kecurian kandungan dan cetak rompak digital.

Kempen dilancarkan bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu turut disokong beberapa penyiar dan penerbit tempatan seperti Media Prima Berhad, Astro dan Skop Productions.

Menurut Pengurus iQiyi International Malaysia, Singapura dan Brunei iaitu Dinesh Ratnam, kempen ini bertujuan menyedarkan dan menggalakkan penonton bersama-sama memerangi kegiatan jenayah cetak rompak.

ARTIKEL BERKAITAN: Filem 'Ada Apa Dengan Dosa' dijual 80 sen, penerbit Ayu Puteh saman laman e-dagang

"Kami menggalakkan para penonton untuk terlibat secara proaktif dengan memerangi dan mematahkan kegiatan jenayah ini. Melalui penglibatan pengguna, kami berharap langkah ini dapat melumpuhkan aktiviti cetak rompak apabila permintaan untuk cetak rompak berkurangan.

"Penggunaan digital secara berhemah merupakan satu amalan yang mampu mengubah landskap industri hiburan dan inilah yang kami maksudkan dengan kuasa klik pengguna.



Dari kiri, Pengurus Negara iQiyi di Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam; Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Norman Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif CCAM, Datuk Mohd Mahyidin Mustakim

"Apabila kita semua berganding bahu di antara pelbagai pihak, nescaya kita dapat melindungi tenaga kerja, hak cipta dan harta intelek industri ini," katanya.

Ujar Dinesh sebuah laman web khusus, www.jangantontonharam.com akan menyiarkan beberapa video perkongsian tentang impak oleh mereka yang menerima kesan secara langsung dari aktiviti cetak rompak kandungan dan penipuan.

Kempen #JanganTontonHaram iQiyi – Finas dilancarkan secara rasmi pada hari pertama CONNECTASIA 2021 yang diadakan baru-baru ini.

Turut menyertai persidangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Creative Content Association Malaysia (CCAM), Datuk Mohd Mahyidin Mustakim; Naib Pengerusi Finas, Datuk Norman Abdul Halim; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Pengarah Kawal-Selia Astro, Laila Saat.

Finas sudah laksanakan banyak kempen kesedaran terhadap cetak rompak sebelum ini, tetapi tidak ada kempen yang memberi insentif kepada mereka yang boleh melaporkan kegiatan cetak rompak

NORMAN ABDUL HALIM

NAIB PENGERUSI FINAS

Acara dua hari itu dipenuhi dengan persidangan dan sesi perkongsian rangkaian perniagaan ini dianjurkan bersama oleh Finas dan CCAM, serta ditaja bersama oleh iQiyi International dan beberapa peserta industri yang lain.

Dalam pada itu, Dinesh berkata melalui kempen ini penonton turut dididik menjadi pemantau bagi memerhatikan sebarang aktiviti jenayah cetak rompak dan boleh menghulurkan maklumat secara terus kepada mereka.

"Kami sedar bahawa sebaik sahaja satu laman haram dihapuskan, satu lagi akan muncul... diilhamkan daripada kempen crowdsourcing dan insfrastruktur global anti cetak rompak iQiyi menggunakan teknologi AI serta pemantauan secara manual, kami telah mencipta satu inisiatif awam #HelloPoliceiQ.

"Ini boleh diakses melalui laman web di mana orang awam boleh melaporkan laman dan platform cetak rompak serta sumber aktiviti tersebut dengan selamat," ujarnya.



Amelia merupakan antara selebriti yang menyokong kempen banteras cetak rompak.

Sementara itu, Norman Abdul Halim pula berkata Finas menyokong penuh kempen yang dianjurkan dan berharap aktiviti cetak rompak dapat dihapuskan secara menyeluruh di Malaysia.

"Finas sudah laksanakan banyak kempen kesedaran terhadap cetak rompak sebelum ini, tetapi tidak ada kempen yang memberi insentif kepada mereka yang boleh melaporkan kegiatan cetak rompak.

"#JanganTontonHaram meletakkan pengguna di barisan hadapan sebagai pusat anti cetak rompak dan ini merupakan satu perkara yang sangat dialu-alukan dan disokong oleh Finas," katanya.

Penggiat seni antaranya Datuk Yusof Haslam, Namron, Adrian Teh, Syazwan Zulkifly, Bront Palarae, Amelia Henderson dan Daniella Sya akan menggunakan pengaruh mereka menerusi beberapa siri video perkongsian dan kesedaran awam serta pengaktifan media sosial bagi menggalakkan peminat-peminat mereka untuk menyertai kempen ini.

Bagi menggalakkan penyertaan dari orang ramai, iQiyi juga akan menjalankan cabutan bertuah mengikut jumlah pautan yang dilaporkan dan mereka berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain