suria

Faizal Tahir buat comeback dengan Mirwana selepas 16 tahun terpisah, ‘Aku Tanpa CintaMu 2021’ imbau nostalgia lama

Faizal Tahir teruja dapat bergandingan semula bersama Mirwana dalam lagu nostalgia mereka yang diberi nafas baharu.

KEPUTUSAN penyanyi Faizal Tahir untuk berkolaborasi bersama kumpulan nasyid Nirwana menerusi lagu Aku Tanpa CintaMu 2021 mengejutkan ramai peminat.

Lebih-lebih lagi selepas 16 tahun Faizal meninggalkan kumpulan tersebut dan kerjasama itu semestinya menerima maklum balas positif peminat yang mahu melihat mereka kembali di atas satu pentas.

Menurut Faizal, kolaborasinya bersama Mirwana adalah untuk mengembalikan semula nostalgia lama dan merupakan satu penghargaan untuk mereka yang tak henti memberi sokongan.

ARTIKEL BERKAITAN: "Zamani individu pertama yakin bakat nyanyian saya" - Faizal Tahir kongsi kisah 15 tahun lalu

"Tanpa Mirwana tiadalah Faizal Tahir. Saya cuma ingin mengembalikan nostalgia dan ini adalah satu penghargaan buat mereka.

“Saya tahu ramai yang bertanya dan ingin kami berkerjasama semula, saya dan Mirwana sebenarnya sudah berbincang sejak beberapa tahun lepas lagi, cuma tunggu masa yang sesuai. Saya rasa ini adalah waktu yang baik untuk mengeluarkan lagu ini," katanya.

Faizal Tahir bergandingan semula bersama kumpulan Mirwana.

Lagu Aku Tanpa CintaMu membawa tuah kepada kumpulan nasyid Mirwana dan Jay Jay apabila diangkat sebagai Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2005.

Alunan melodi yang merdu serta bait-bait lirik yang menyentuh jiwa berjaya meletakkan Mirwana sebagai antara kumpulan nasyid paling popular ketika itu.

Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan Mirwana iaitu Hafiz pula meletakkan harapan agar kerjasama bersama Faizat Tahir itu dapat mengangkat semula irama nasyid dan mengembalikan nostalgia lagu tersebut yang diberi nafas baharu.

Alhamdulillah nampaknya impian dan hasrat Faizal dengan muzik beliau lebih berhasil dan berjaya apabila diteruskan.

HAFIZ

WAKIL KUMPULAN MIRWANA

“Yang lebih penting adalah ukhuwah antara kami, keluarga dan sahabat diharap akan lebih erat dan baik. Sejak kebelakangan ini, kami dapat melihat pelbagai usaha yang dilakukan oleh penggiat seni untuk mengangkat semula nasyid dan kami tidak mahu ketinggalan.

"Pengunduran itu satu keputusan yang tepat. Jelas ketika itu, Mirwana mempunyai hala tuju muzik, cara dan matlamat yang sedikit berbeza.

"Alhamdulillah nampaknya impian dan hasrat Faizal dengan muzik beliau lebih berhasil dan berjaya apabila diteruskan secara solo dan itu sesuatu yang sukar untuk kami capai bersama," ujarnya.

Faizal Tahir semasa bersama kumpulan Mirwana kira-kira 16 tahun lalu.

Selain Hafiz, kumpulan Mirwana kini dianggotai oleh Akmal, Along, Izzat, Ikram, Naim dan Faiz.

Aku Tanpa CintaMu adalah karya sepenuhnya oleh Mujahid Abdul Wahab manakala susunan muzik versi 2021 ini pula digubah oleh Adib Hussin dan Faizal Tahir sendiri.

Lagu ini adalah terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Dengarkan Aku Tanpa CintaMu 2021 di semua platform digital bermula Jumaat dan video muzik di saluran YouTube Faizal Tahir pada Isnin ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain