suria

[VIDEO] Hamil 3 bulan, Elly Mazlein hilang selera makan sampai tak boleh bau bawang - “Nak sushi je... feeling Korea!”

PELAKON dan penyanyi Elly Mazlein yang kini hamil anak kedua berkata dia tidak berdepan dengan alahan yang teruk sepanjang trimester pertama kandungannya itu.

Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 40, bagaimanapun berkata dia berdepan beberapa simptom ibu hamil antaranya hilang selera makan dan tidak boleh masuk ke dapur.

"Alhamdulillah kandungan dah tiga bulan, alahan tak teruk sangat... sama je macam kandungan anak pertama dulu cuma kali ini saya tak ada selera makan sangat.

ARTIKEL BERKAITAN: Elly Mazlein betul-betul sedang hamil - “Ya Kak Kepom mengandung!”

"Memang dekat rumah tak makan sebabnya tak tahan bau bawang putih, tak boleh nak memasak padahal sebelum ini saya suka saja makan semua jenis bawang.

"Saya cuma boleh makan sushi je... tapi kalau buat penghantaran di rumah tak tahan bau pula, terpaksa la pergi restoran sushi, nasib baik dekat dengan rumah... feeling korea!" katanya kepada mStar.

Elly tiada masalah teruskan karier seni meskipun kini sudah hamil.

Untuk rekod, Elly mungkin tersalah apabila mengaitkan sushi dengan negara Korea kerana ia merupakan makanan yang berasal dari Jepun.

Elly berkongsi mengenai perkembangan kehamilannya itu semasa majlis pelancaran program masakan khas Ramadan Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom yang diadakan di Kelab Tasik Putrajaya pada Khamis.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Penerbit Mache All Star United Sdn Bhd, Norley Aimi Nadiah.

Bersyukur dengan kurniaan rezeki zuriat itu, Elly berkata dia mahu berkongsi mengenai kehamilan dengan pengikutnya di media sosial terutama untuk mereka yang masih belum dikurniakan cahaya mata.

Elly bergambar kenangan bersama Ketua Setiausaha KKMM, Mohammad Mentek (tiga dari kiri), penerbit Mache All Star United, Norley Aimi (kiri sekali), Pengurus Urusan Minyak Masak Kijang Gold, Nor Sabimi Mohamaed Aluwi (kanan sekali) dan Ketua Penolong Pengarah Unit Kandungan Kreatif RTM, Suhana Suratman (dua dari kanan).

Menerusi perkongsian tip dan petua itu nanti dia berharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang sedang berusaha mendapatkan anak.

Bagaimanapun, pengacara program Borak Kelamin ini mengakui sedikit terkilan apabila ada segelintir netizen mempersendakan niatnya untuk berkongsi ilmu kehamilan itu.

"Sejujurnya saya dapat banyak mesej peribadi daripada mereka yang dah kahwin tapi masih belum ada anak, ada yang dah 10 tahun kahwin. Jadi saya nak kongsi dengan orang ramai tip dan amalan macam mana dalam tempoh sebulan je dah melekat. Memang rezeki itu daripada Allah tapi kita pun kena berusaha dan berikhtiar.

Syukur selepas 20 tahun terbabit dalam bidang seni saya tak sangka akhirnya dapat juga peluang memiliki program sendiri!

ELLY MAZLEIN

PENGACARA

"Cuma saya sedikit geram dengan sikap segelintir netizen yang menyindir mengenai tujuan saya nak kongsi tip itu, ada yang kata... kalau subur tak kira waktu tetap menjadi! Itu awak yang subur, kalau rasa tak perlu tip duduk saja diam-diam dan doakan mereka yang mahukan zuriat.

"Ya saya bukan doktor atau pakar tapi saya cuma berniat nak kongsi tip sebab saya faham perasaan wanita dan tahu betapa indah menjadi seorang ibu melalui saat mengandung," ujarnya.

Elly berkahwin dengan Muhammad Azlan Che Nuh, 31, pada 18 Januari tahun lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Elly sebelum ini pernah berkahwin dengan pengarah drama Azmi Hatta pada 9 November 2014 sebelum bercerai pada 15 Oktober 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia yang kini berusia lima tahun.

Elly teruja mengacarakan program masakan sendiri.

Bercakap mengenai program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom itu, Elly berkata dia teruja untuk menghiburkan penonton sepanjang Ramadan ini dengan pelbagai aneka juadah untuk berbuka puasa.

"Syukur, selepas 20 tahun terbabit dalam bidang seni saya tak sangka akhirnya dapat juga peluang memiliki program sendiri. Ia sangat istimewa dan berbeza dengan rancangan yang orang ramai pernah tonton sebelum ini.

"Kita punya menu yang mudah dan ringkas sahaja... sambil memasak kita akan berbual dengan barisan artis jemputan. Saya yakin penonton akan terhibur dengan porgram masakan ini. InsyaAllah kalau ada rezeki kita dapat teruskan untuk musim kedua tahun depan pula," katanya.

Program masakan 29 episod yang dibawa khas oleh jenama minyak masak Kijang Gold itu yang akan disiarkan di TV1 pukul 12.30 tengahari bermula 1 Ramadan ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain