suria

Alhamdulillah... makin manis Syanie selepas bertudung, mahu jaga maruah suami - “Saya kotakan janji saat kami diijabkabulkan”

Syanie tampil berhijab selepas memasang niat sejak tahun lalu.

DEMI menjaga maruah suami, pelakon dan usahawan Syanie Hisham menetapkan hati untuk terus mengenakan hijab sejak hari pernikahannya pada 19 Februari lalu.

Menurut Syanie, 47, keputusan itu sebenarnya sudah disuarakan kepada suaminya, Zahril Hafiz Mohammed Nor sejak tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Syanie bertemu jodoh lagi, selamat berkahwin kali ketiga - “Zahril berani bertemu dengan ibu luah hasrat hati”

"Saya ada berkongsi dengan suami yang ketika itu masih berstatus tunang tentang keputusan mahu bertudung dan dia ada bertanya bila saya akan ke arah itu. Saya hanya jawab belum pasti bila akan bertudung.

“Bagaimanapun saya ada beri bayangan akan bertudung secara rasmi pada hari pernikahan.

Penampilan terkini Syanie.

“Tanpa bercakap panjang, dia hanya tunduk bersetuju. Alhamdulillah saya kotakan perkara itu saat kami diijabkabulkan," katanya kepada mStar.

Syanie melangsungkan pernikahan kali ketiganya dengan perunding kewangan berusia 41 tahun berstatus duda tanpa anak itu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Majlis ringkas itu berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Saya ada berkongsi dengan suami (ketika itu masih berstatus tunang) tentang keputusan mahu bertudung.

SYANIE HISHAM

PELAKON

Sementara itu dalam perkembangan lain, Syanie bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul, Hantu Kuat Ketawa yang diarahkan oleh Mawi.

Filem itu juga bakal menyaksikan penyatuan keempatnya bersama rakan gandingan Saiful Apek.

Syanie berkahwin dengan Zahril pada 19 Februari lalu.

"Secara kebetulan dan bagai dipermudahkan, filem kedua arahan Mawi yang menggandingkan saya dengan Saiful Apek itu memang watak bertudung.

"Jadi, saya 'on' saja. Insya-Allah penggambaran filem itu akan bermula 27 Februari ini. Saya sendiri teruja kerana filem komedi seram itu akan mengimbau kembali kenangan berlakon dengan Saiful Apek suatu ketika dahulu.

"Daripada zaman filem Senario, Cinta Luar Biasa, Laila Isabella dan Biar Betul, saya sebenarnya terlalu rindu untuk kembali beraksi dengan Saiful Apek. Terima kasih Mawi kerana kembali menyatukan kami," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain