suria

12 minggu berentap di pentas Mic On!, Jiwa Firdaus muncul juara musim pertama

Jiwa bergambar bersama juri tetap, Mas Idayu.

PENTAS akhir program realiti Mic On! yang berlangsung pada malam, Jumaat menerusi saluran Awesome TV menyaksikan kemenangan peserta Muhammad Firdaus atau lebih dikenali sebagai Jiwa Firdaus.

Menyanyikan dua buah lagu berjudul Potret dan Farhana, Jiwa telah berjaya menepis lima finalis yang lain dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, hadiah tajaan ALTEL beserta trofi juara.

ARTIKEL BERKAITAN: Gelanggang Mic ON! dibuka, 12 peserta tunjuk bakat terpendam

Kemenangan jejaka berusia 26 tahun itu sekaligus mengangkat Fad sebagai pengurus terbaik Mic On! dengan memenangi RM1,000 beserta trofi Mic On!.

Menurut Datuk M Nasir selaku juri tetap Mic ON!, Jiwa mempunyai vokal yang hampir sempurna serta persembahan yang konsisten setiap minggu.



Ainnur ditempat kedua manakala Aaron menduduki tempat ketiga.

Manakala Mas Idayu pula berpendapat, Jiwa mampu untuk mewarnai lagu yang dibawa dengan cara yang tersendiri tanpa terikut-ikut dengan identiti penyanyi asal lagu-lagu yang disampaikan.

Siti Wan Ainnur, 23, yang berasal dari Kuala Lumpur yang kali pertama menyertai pertandingan nyanyian berjaya memikat hati para juri dan berjaya menduduki tempat kedua.

Kelincahan dan versatiliti Ainnur menyanyikan lagu Jangan Kau Mimpi dan Cindai membuatkan dia berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 bersama trofi dan hadiah tajaan ALTEL.

Tempat ketiga menjadi milik Harun Abdul atau Aaron yang membawa pulang wang tunai bernilai RM2,500 beserta trofi dan hadiah tajaan ALTEL.



Peserta diadili oleh dua juri tetap, M Nasir dan Mas Idayu serta juri jemputan, DJ Dave.

Finalis lain yang bertanding adalah Erman Braka, Qmir dan Azmi Khan turut tampil dengan persembahan yang memukau hati penonton dan para juri tetap serta jemputan iaitu Datuk DJ Dave.

Mic On! program realiti yang pertama yang disiarkan di Awesome TV terbitan Awesome TV yang berhasrat untuk mencungkil bakat anak muda tempatan untuk bangkit mewarnai industri seni tempatan.

Kelainan yang ditonjolkan dalam program yang dikendalikan oleh pengacara Nana Mahazan itu adalah kesemua peserta diuruskan oleh pelawak-pelawak terkenal tanah air, iaitu Ropie, Fad dan Shuk Sahar.

Ulangsiar program tersebut boleh ditonton melalui saluran YouTube rasmi dan laman sesawang rasmi Awesome TV, www.awesometv.my dan penonton boleh mengikuti perkembangan terkini Mic On! melalui kesemua akaun media sosial Awesome TV.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain