suria

Selepas bergelar pelakon dan penyanyi, Cik B cuba nasib jadi pelawak pula! Sahut cabaran di 'Muzikal Lawak Superstar 2'

Cik B bergandingan dengan Chiwan dan Achok menerusi Muzikal Lawak Superstar.

SELEPAS menceburi bidang lakonan dan nyanyian, selebriti remaja popular Cik B mencuba nasib sebagai pelawak dengan menyertai program Muzikal Lawak Superstar musim kedua (MLS2) yang bakal berlangsung 18 Disember ini.

Anak kepada usahawan kosmetik terkenal Datuk Seri Vida ini memberitahu, penyertaan itu adalah cabaran untuk dia melakukan sketsa komedi sambil menyanyi yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, 15, turut teruja apabila ibunya memberikan sokongan penuh untuk dia bersaing dalam pertandingan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak perlu lelaki dalam hidup, jadi relaks!” - Kisah cinta Cik B hanya gurauan, sedar diri masih bawah umur

"Saya gembira kerana bukan senang untuk masuk ke Muzikal Lawak Superstar ini, lagipun ibu beri galakan dan sokong apa juga keputusan saya.

"Saya sahut cabaran dalam bidang ini dan nak tonjolkan kelainan dengan serlahkan sisi komedi selain menyanyi dalam program ini," katanya kepada mStar.

Cik B akan bergandingan dengan pasangan pelawak iaitu Chiwan dan Achok Chilok membentuk kumpulan baharu yang diberi nama ABC.

Program Muzikal Lawak Superstar musim kedua bakal bersiaran pada Jumaat, pukul 9 malam di Astro Warna HD (107) dan Astro Warna (127).

Selain itu, pelakon popular iaitu Nur Fazura, Zul Ariffin dan Datuk Awie berperanan sebagai juri tetap program lawak itu.

Fazura dan Zul Ariffin bergelar juri tetap program Muzikal Lawak Superstar musim kedua.

MLS 2 menampilkan sebanyak 13 kumpulan bertanding bagi merebut gelaran juara.

Sementara itu, juara musim pertama iaitu kumpulan J-Born yang dianggotai Khir Rahman, Joey Daud dan Vicha turut memberikan saingan.

Namun, Vicha tidak dapat memberikan komitmen terhadap pertandingan ini dan tempatnya digtntikan dengan pelawak Man Raja Lawak.

MLS 2 masih mengekalkan format ‘2 pelawak + 1 selebriti’ bagi setiap kumpulan.

Antara selebriti yang terlibat pada musim ini adalah Fakhrul UNIC, Khir Rahman, Syura, Keena Mentor, Cik B, Azmi Caliph Buskers, Johan Asaari, Ezlynn, Roy Azman, Zahid AF, Mark Adam, Lan Solo dan Fiza Thomas.

Setiap minggu, kesemua kumpulan akan diberikan tiga hingga lima minit untuk melakukan persembahan sketsa komedi muzikal berdasarkan tema lokasi yang ditugaskan, seperti alam fantasi, majlis keramaian, institusi pendidikan, mercu tanda ikonik, negeri-negeri di Malaysia dan sebagainya.

Selari dengan tagline ‘Dalam Komedi Ada Nyanyi’, pemberian markah ditentukan menerusi tahap kreativiti sketsa komedi, kreativiti lirik serta dialog, lakonan dan persembahan pentas serta nyanyian yang dipersembahkan.

Markah setiap peserta akan dinilai menerusi 50 peratus daripada penilaian juri tetap dan selebihnya daripada undian peminat.

Juara MLS 2 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 beserta trofi serta akan mendermakan RM10,000 kepada badan kebajikan yang terpilih.

Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM75,000 dan RM50,000.

Manakala tempat keempat tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana akan menerima RM25,000.

13 kumpulan bersaing dalam Muzikal Lawak Superstar 2:

UNI - Fad Bocey, Atu Zero, Fakhrul UNIC

J-BORN - Man Raja Lawak, Joey Daud, Khir Rahman

STAMP - Tapai Gegar Lawak, Che Mat, Syura

GOJES - Mie Raja Lawak, Tauke Jambu, Keena Mentor

ABC - Chiwan Chilok, Achok Chilok, Cik B

HEART - Danial Lawak Solo, Ezad Lazim, Azmi Caliph Buskers

TERUNA - Ilham Abata, Din Raja Lawak, Johan Asaari

ZOMBI - Wan Gegau, Wan XOXO, Ezlynn

VIRAL - Ali Puteh, Mamak Puteh, Roy Azman

ZUZUZU - Nizam Jentik Jentik, Filzah, Zahid AF

MASHUK - Syuk, Achey Bocey, Mark Adam

LEKLU - Ewan Lopez Raja Lawak, Jaly Skool of Lawak, Lan Solo

JAGO - Chot XOXO, Yus Skool of Lawak, Fiza Thomas

PUPPET - Shariff Zero, Rul Puppet, Wan Puppet

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain