suria

“Saya tak perlu lelaki dalam hidup, jadi relaks!” - Kisah cinta Cik B hanya gurauan, sedar diri masih bawah umur

Cik B minta netizen bertenang, dia dan Aniq hanya bergurau.

ANAK kepada jutawan kosmetik Datuk Seri Vida iaitu Cik B meluahkan rasa kecewa apabila menerima pelbagai kecaman daripada netizen selepas dikatakan bercinta dengan pelakon baharu, Aniq Suhair.

Gara-gara gosip cinta itu, Cik B atau nama sebenar Nur Edlynn Zamilleen Muhamad Amin, berkata dia sering diingatkan oleh netizen mengenai usianya yang masih muda untuk mempunyai hubungan istimewa dengan lelaki.

Dalam masa sama, gadis berusia 15 tahun ini turut berasa hairan apabila nama ibunya turut dikaitkan dalam 'kisah percintaan' mereka itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Aniq Suhair mengaku rapat dengan anak Datuk Vida... seronok borak macam-macam topik - “Cik B gadis sweet dan sopan santun”

"Ya, Cik B 15 tahun, bawah umur... lepas tu korang kecam Cik B macam korang tak sedar Cik B umur 15 tahun boleh pula? Fikir balik.

"Orang kata Cik B bukan siapa-siapa kalau Cik B bukan anak Datuk Seri Vida... betullah tu! Kalau Cik B bukan anak Datuk Seri Vida, mana ada Cik B dalam dunia," katanya.



Cik B tulis luahan di Twitter.

Cik B berkongsi luahan hatinya itu di laman Twitter pada Khamis.

Sebelum ini, timbul gosip kononnya Cik B sedang menjalinkan hubungan cinta dengan bekas finalis program Hero Remaja 2020 itu.

Ini selepas Cik B memuat naik status memberitahu dia sudah berpunya dan berkongsi beberapa keping gambar dan video bersama Aniq.

Gosip itu mengundang rasa kurang senang segelintir netizen kerana perbezaan umur antara mereka.

Saya tidak perlukan lelaki dalam hidup, jadi relaks!

CIK B

PELAKON

Sementara itu, Cik B berkata dia tidak marah atau terasa hati dengan komen yang ditulis netizen berkenaan.

"Cik B tak marah atau terasa cuma Cik B faham. Cik B okay guys! Saya dah biasa. Saya fikir ini hanyalah gurauan.

"Maaf sebab Cik B banyak tweet fasal haters sebab Cik B tengah marah, anak buah kencing atas katil! Kalau tak mana Cik B layan.

"Saya tidak perlukan lelaki dalam hidup, jadi relaks," ujarnya.



Dua pelakon baharu ini mula rapat selepas bergandingan dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta.

Menerusi laporan mStar pada Rabu, Aniq, 20, mengakui mereka berkawan rapat sejak bergandingan dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta yang bersiaran di TV3.

Bagaimanapun, dia meminta peminat tidak mengambil serius mengenai perkongsian mereka di laman sosial dan menganggap ia hanyalah gurauan sesama teman.

"Saya harap orang luar tidak melihat perkongsian itu secara serius. Semua tahu Cik B masih lagi belajar dan saya pun baru melangkah masuk dalam industri ini.

"Posting di laman sosial itu hanya gurauan sahaja, tapi tak sangka pula ramai yang ambil serius tentang perkara ini sehingga ada yang tuduh saya bukan-bukan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain