suria

Shiha Zikir buat 'swab test' dan kuarantin diri biarpun bukan kontak rapat Alif Satar

Shiha tetap jalani kuarantin biarpun tidak mempunyai kontak rapat dengan Alif Satar.

BERITA mengenai selebriti terkenal Alif Satar disahkan positif wabak Covid-19 turut mengundang kebimbangan penyanyi Shiha Zikir yang beraksi pada episod kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM35), Sabtu lalu.

Biarpun Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 33, bukan dalam kategori kontak rapat Alif namun dia tetap melakukan ujian calitan atau swab test demi keselamatan orang sekelilingnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Alif Satar mengaku emosi terganggu, sudah siap kemas baju tunggu ambulans - “Jika saya dapat keputusan berbeza dengan anak-anak, apa jadi pada mereka?”

Malah, Shiha berkata, dia turut menjalani proses kuarantin walaupun keputusan ujian saringannya didapati tidak dijangkiti wabak itu.



Shiha lakukan swab test sebagai langkah berjaga-jaga.

"Saya sangat simpati dengan apa yang terjadi kepada Alif dan keluarganya. Kita tak nak orang berfikiran negatif dengan meletakkan kesalahan dekat mana-mana pihak.

"Bagi saya, tak ada siapa yang nak benda ini berlaku. Kalau ikutkan, saya bukanlah kontak rapat dengan Alif sebab saya buat persembahan sehari selepas dia.

"Tapi saya tetap buat swab test sebagai langkah berjaga-jaga. Alhamdulillah, keputusan negatif. Walaupun negatif, tapi saya tetap jalani kuarantin selama 14 hari.

"Sebenarnya saya tak perlu pun jalani kuarantin tapi ini inisiatif saya sendiri," kata Shiha ketika sesi IG Live bersama mStar pada Rabu.

Memang jadual aktiviti seni dan kerja saya agak terjejas sebab kuarantin ini.

SHIHA ZIKIR

PENYANYI

Sebelum ini, Alif mengesahkan dia dijangkiti Covid-19 selepas dua hari membuat persembahan di pentas SFMM35 episod pertama.

Keputusan pihak penganjur menunda program tersebut yang sepatutnya berlangsung pada Ahad lalu demi keselamatan semua yang terlibat.

Shiha menyampaikan lagu 7 Nasihat menggantikan Datuk Siti Nurhaliza di SFMM35 episod dua yang berlangsung pada Sabtu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu AEWO ini memberitahu dia tetap akan melakukan ujian saringan kali kedua bagi memastikan dirinya tidak dijangkiti wabak tersebut.



Shiha buat persembahan di SFMM35 pada Sabtu.

Akui Shiha, dia juga sanggup mengorbankan perjalanan aktiviti seninya sepanjang tempoh kuarantin selama 14 minggu.

"Insya-Allah selepas dua minggu ini, saya akan buat sekali lagi swab test demi keselamatan semua orang.

"Memang jadual aktiviti seni dan kerja saya agak terjejas sebab kuarantin ini. Ada kerja dan program yang perlu saya pergi terpaksa ditangguh atau batalkan.

"Sepanjang dua minggu ini memang saya batalkan atau tangguhkan kerja di luar. Saya rasa ini salah satu tanggungjawab untuk elakkan sebarang kemungkinan berlaku," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain