suria

Tuah Adzmi gembira MV 'Kecewa' dapat sambutan, peminat pula tak puas hati penggambaran hanya di lokasi sama dengan lagu terdahulu

Tuah tidak sangka MV Kecewa dapat 100,000 tontonan dalam masa yang singkat.

NAMA Tuah Adzmi mungkin masih lagi asing dalam industri seni namun video muzik lagunya berjudul Kecewa sudah mencecah lebih 100,000 tontonan dalam masa lima hari dimuat naik di YouTube.

Menurut Tuah, 22, dia tidak menjangkakan sambutan yang diterima itu berikutan belum dikenali dalam kalangan penyanyi baharu.

"Ramai tidak mengetahui yang saya sebenarnya bermula dari YouTube dan mula cover lagu sejak usia 15 tahun lagi. Demo lagu Kecewa itu saya pernah muat naik di saluran YouTube saya tahun lalu.

"Mungkin dari situ, orang dah mula menantikan video muzik lagu tersebut. Alhamdulillah... saya tak sangka boleh naik (jumlah tontonan) laju macam ni.



Tuah tidak kisah jika namanya masih belum dikenali dalam industri seni.

"Saya tak kisah jika nama saya masih belum dikenali sebab saya pun bukan la sesiapa lagi dalam industri seni. Video klip diterima baik sehingga jadi trending pun sudah cukup bagi saya," katanya kepada mStar.

Video muzik lagu Kecewa nyanyian Tuah Adzmi yang dimuat naik di saluran YouTube FMC Music kini mencecah lebih 100,000 tontonan sejak dilancarkan pada 25 Jun lalu.

Bagaimanapun, ada komen negatif mengatakan syarikat rakaman FMC Music bersikap ambil mudah dan tidak adil apabila mengulang semula lokasi penggambaran yang sama dengan single pertamanya Insan Kau Cinta.

Dalam pada itu, Tuah menjelaskan konsep dan lokasi itu telah mendapat persetujuan daripada dirinya sendiri.

Saya setuju dengan konsep dan lokasi itu selepas kami semua berbincang.

TUAH ADZMI

PENYANYI

"Tiada istilah berat sebelah atau saya anak tiri. Memang saya sudah serahkan konsep dan lokasi kepada produksi yang dipilih oleh syarikat rakaman iaitu produksi yang sama dengan video klip lagu pertama saya.

"Saya setuju dengan konsep dan lokasi itu selepas kami semua berbincang. Sepatutnya penggambaran video klip tersebut di Taiping, Perak namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, hasrat itu tidak dapat diteruskan.

"Walaupun penggambaran sudah dibenarkan dan boleh rentas negeri, tapi saya dan pihak pengurusan masih ada rasa bimbang dengan wabak Covid-19, sebab itu kami pilih saja lokasi yang sama di Kuala Lumpur," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Tuah Adzmi, FMC Music, Kecewa,

Artikel Lain