suria

Ibu Ruhainies patah pergelangan tangan, keluarga terlibat kemalangan selepas sambutan hari lahir bapa

Ruhainies bersyukur kepada semua pihak yang mendoakan mengenai keselamatan keluarganya.

PELAKON Ruhainies berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki ibu dan bapanya terbabit dalam satu kemalangan pada awal pagi Ahad.

Menurut Ruhainies, ketika kejadian kereta jenis Kia sportage yang dipandu oleh adiknya, Riesya Sharmin bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah hadapan.

"Kereta yang dinaiki oleh keluarga saya terbabit dalam kemalangan di Jalan Tun Razak berhadapan Institut Jantung Negara (IJN) pukul 2 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Teman lelaki Ruhainies suap nasi kandar dalam Ferrari, netizen naik menyampah manja tak bertempat

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak suruh pakai bikini?” - Netizen nasihat Ruhainies jangan layan ‘toksik’ cepat ‘menggelupur’

"Kami semua baru pulang daripada menyambut hari jadi bapa. Mereka naik satu kereta dan saya dalam kereta lain. Ketika dalam perjalanan itu, adik maklumkan yang mereka kemalangan.

"Sebuah kereta secara tiba-tiba muncul melawan arus dari depan. Disebabkan itu, kereta dipandu adik tidak sempat mengelak dan terus bertembung. Kereta rosak teruk!," katanya kepada mStar.

Kemalangan berlaku di Jalan Tun Razak berhadapan Institut Jantung Negara (IJN).

Selain kedua ibu bapanya, dua lagi penumpang dalam kenderaan tersebut ialah kakaknya yang juga pelakon Risteena dan seorang lagi adik mereka, Nul Aiman.

Sementara itu, Ruhainies berkata kemalangan tersebut menyebabkan ibunya, Che Bunga Salleh patah pergelangan tangan kanan.

Manakala bapanya mengalami bengkak pada kepala dan adik-beradik lain mengalami sakit pada bahagian badan.

"Sekarang ini mereka masih di hospital untuk pemeriksaan dan rawatan. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja.

"Terima kasih pada yang mendoakan kami keluarga," ujarnya.

Dalam pada itu, Ruhainies berkata keluarganya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee.

Ruhainies, Risteena

Artikel Lain