Sissy Imann dikritik ‘sendu’ kerana video joget, netizen suruh balik kampung tanam jagung - Hiburan | mStar

Sissy Imann dikritik ‘sendu’ kerana video joget, netizen suruh balik kampung tanam jagung

Video Sissy Imann berjoget mengundang kecaman netizen di laman sosial.

GARA-GARA memuat naik video joget, penyanyi Sissy Imann dikecam segelintir netizen yang kurang senang melihat aksinya itu di laman sosial.

Malah, ada juga netizen yang mempersoalkan bakatnya dalam bidang seni sehingga diminta untuk pulang ke kampung dan melabelkan dirinya sebagai 'sendu' (tidak popular).

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan perempuan penuh drama, Sissy Imann mahu 'bridesmaid' lelaki

Bagaimanapun, Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil​, 24, berkata dia sentiasa belajar memperbaiki kelemahannya dan bersyukur masih diberikan rezeki dalam bidang seni.

Sissy membalas kritikan netizen.

"Kalau pun saya sendu sebut la elok-elok. Artis ini individu yang buat seni. Kami susah payah menyanyi, cipta lagu, jadi pelakon dan pengacara.

"Walaupun sendu tapi itu kerjaya kami. Sekurang-kurangnya saya belajar sedikit demi sedikit. Alhamdulillah Tuhan masih bagi saya rezeki cari makan dalam bidang seni ini.

"Insya-Allah bila Tuhan dah tak bagi rezeki saya cari makan dalam bidang ini, saya balik kampung tanam jagung okey. Semoga Tuhan merahmati awak selalu," katanya membalas salah satu komen netizen.

Biarpun menerima pelbagai kecaman namun penyanyi lagu Pesanan Ayahanda ini dilihat tenang berdepan segala kritikan terhadapnya.

Rata-rata peminatnya suka dan terhibur melihat aksi comel Sissy berjoget.

Dalam pada itu, Sissy mengambil semua teguran dan kritikan tersebut secara positif dan akan cuba menjadi yang lebih baik di masa hadapan.

"Itulah serba sedikit apa yang kami lalui sebagai artis. Mungkin orang nampak kehidupan kami ini senang, penuh glamor tapi hakikatnya kami hadap benda macam ni la juga hari-hari.

"Apa pun semua teguran Sissy ambil positif dan Insya-Allah saya akan cuba jadi yang lebih baik dan kuat. Minta maaf kalau perkembangan Sissy lambat tapi saya akan cuba terbaik.

"Perlahan-lahan merangkak. Terima kasih kepada semua yang setia dan beri peluang untuk Sissy membesar dalam industri seni ini. Alhamdulillah Ya Allah dan semoga Allah memberkati anda semua," katanya.

Sissy Imann

Artikel Lain