Netizen tanya kenapa tak buat majlis kahwin di rumah sendiri? Ini komen Nadia Brian! - Hiburan | mStar

Netizen tanya kenapa tak buat majlis kahwin di rumah sendiri? Ini komen Nadia Brian!

Nadia Brian mahu pilih lokasi yang sesuai dan selesa untuk tetamu. Foto Instagram @nadia.brian

KEPUTUSAN pelakon Nadia Brian menangguhkan tarikh perkahwinan dengan alasan tiada lokasi sesuai menyebabkan netizen membuat pelbagai andaian.

Ada yang mempertikaikan alasan tersebut kerana dianggap remeh dan majlis masih boleh dijalankan di kediamannya sendiri.

Nadia bagaimanapun menjelaskan dia tidak memilih rumahnya sebagai lokasi pernikahan dan resepsi kerana kurang fasiliti serta tidak strategik untuk tetamu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nadia Brian ikat tali pertunangan dengan ahli perniagaan

"Sebenarnya boleh sahaja kalau nak nikah dan kahwin di rumah cumanya saya rasa ia kurang sesuai kerana ramai tetamu yang akan datang dan kurang fasiliti seperti contoh parkir kereta dan lain-lain.

Nadia ikat tali pertunangan dengan Muizz pada awal Mei lalu.

"Lagipun saya dan bakal suami merancang nak buat resepsi dalam satu majlis sahaja, jadi kita nak pilih tempat yang lebih besar untuk menampung tetamu daripada dua keluarga.

"Majlis ini hanya sekali, jadi biarlah tetamu yang datang nanti berasa selesa dan dapat bersama-sama berkongsi momen indah itu," katanya kepada mStar.

Nadia diminta mengulas mengenai kritikan netizen mengenai alasannya menangguhkan majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung pada 19 September ini kerana lokasi sudah penuh.

Sementara itu, pelakon filem Ratu Kala Jengking ini berkata tarikh tersebut bukanlah pilihan muktamad dan hanya tertarik dengan angka itu.

Nadia buat persiapan sebelum bergelar isteri.

"Saya dan tunang tak kisah sangat mengenai tarikh majlis cumanya angka itu dirasakan menarik lagipun sekarang ini kami masih dalam proses persediaan.

"Insya-Allah, sekiranya semuanya berjalan lancar, majlis perkahwinan kami akan berlangsung pada hujung tahun ini atau paling lambat awal tahun depan.

"Tak kisahlah fasal tarikh tu, yang penting perjalanan majlis itu nanti teratur dan ia menjadi hari bahagia untuk kami, keluarga dan sahabat," katanya.

Nadia atau nama sebenar Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 28, mengikat tali pertunangan dengan usahawan iaitu Muizz Nasruddin pada 4 Mei lalu.

Kedua-duanya berkenalan selama dua tahun dan Muizz melamarnya di Kota Paris pada Februari.

Nadia Brian

Artikel Lain

Tun M pandu Proton Saga baharu