suria

Tutup R&R elak sesak, Plus kesal isteri Fazley terpaksa lepas ‘hajat’ dalam semak

Isteri Fazley Yaakob terpaksa membuang air kecil di tepi semak akibat penutupan tandas di lebuh raya.

RUNGUTAN penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob berkaitan penutupan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) pada Ahad lalu sehingga menyebabkan isterinya Datin Azrane Soraya Abdul Aziz terpaksa membuang air besar di dalam semak mendapat perhatian pihak Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Menerusi kenyataan kepada mStar, Ketua Perhubungan Korporat, Komuniti dan Awam Plus, Syed Mohammed Idid berkata penutupan R&R Sungai Perak dan hentian sebelah Simpang Pulai arah utara dibuat secara berkala bagi mengelakkan kesesakkan ketika musim perayaan Aidilfitri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Perjalanan 13 jam, tandas pula tutup” - Isteri Fazley Yaakob lepas 'hajat' dalam semak

"Sebagai sebahagian daripada kolaborasi antara Plus, Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang lebih lancar, adalah dengan menutup R&R Sungai Perak dan hentian sebelah Simpang Pulai secara berkala pada 9 Jun lalu ketika orang ramai bergerak pulang ke Lembah Klang.

"Langkah ini diambil bagi mengelakkan kenderaan terus beratur panjang di laluan masuk ke kawasan-kawasan rehat terbabit dan menghalang laluan dan perjalanan kenderaan di laluan utama lebuhraya. Kedua-dua kawasan rehat tersebut telah dibuka semula serta-merta kepada pelanggan setelah keadaan trafik sedikit terkawal," ujarnya.

Pada Isnin lalu, Fazley menerusi Instagram berdepan dengan kesulitan apabila isterinya terpaksa melepaskan 'hajat' di tepi semak samun akibat tandas dan R&R ditutup.

Fazley yang dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur menempuh perjalanan selama 13 jam memberitahu dia terpaksa membantu isterinya mencari tempat berselindung kerana tidak tahan untuk membuang air kecil.

Kata Fazley, bukan isterinya sahaja, perbuatan sama turut dilakukan pengguna lebuh raya lain.

Dalam pada itu, pihak Plus berkata, persediaan sudah dilakukan bagi menampung 1.7 juta kenderaan yang melalui laluan dari arah Utara dengan penambahan tandas tambahan di beberapa kawasan rehat utama.

Selain itu, tandas awam serta surau turut disediakan di plaza-plaza tol sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

"Plus memahami kesukaran yang dialami oleh pelanggan dan melahirkan rasa kesal dengan kesesakan yang berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan pada Ahad lalu," ujarnya.

Fazley Yaakob, PLUS

Artikel Lain