A Rahman Hassan meninggal dunia - Hiburan | mStar

A Rahman Hassan meninggal dunia

Datuk A. Rahman Hassan meninggal dunia pada usia 73 tahun.

PENYANYI era 60-an iaitu Datuk A. Rahman Hassan meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur akibat strok dan pendarahan pada bahagian otak.

Anak sulungnya Khir Rahman berkata, arwah meninggal dunia kira-kira pukul 12.40 tengah malam Khamis.

"Saya Khir Rahman memaklumkan secara rasmi bahawa ayahanda saya telah kembali ke rahmatullah.

"Alhamdulillah berkat doa semua arwah abah pergi dengan baik sekali, semoga abah disekalikan bersama mereka yang beriman," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: A Rahman Hassan kritikal hanya bergantung alat bantuan pernafasan

Jenazah akan dibawa pulang dan dimandikan di kediamannya di Taman Sri Ukay, Ampang.

A. Rahman meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Penyanyi lagu Tak Mengapa ini akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam, Taman Keramat pada Khamis.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu pelakon Datin Fadilah Mansor dan dua orang anak termasuk pelakon dan pengarah Khir Rahman.

Anak keduanya iaitu Khairul Ilmi meninggal dunia pada 2016 akibat kanser.

A. Rahman, 73, dikejarkan ke Hospital Ampang, Kuala Lumpur selepas tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10 malam Isnin lalu.

Menurut Khir, bapanya pitam di sebuah stesen minyak dan kemudian dihantar ke hospital menaiki ambulans.

A. Rahman pernah berkahwin dengan Datin Azizah Mohamad yang juga penyanyi kumpulan Orkes Nirwana.

A Rahman beraksi pada Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL32) pada tahun lalu.

Allahyarham meninggal dunia pada 26 April 2013 akibat kanser pangkal rahim tahap akhir selain menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

A. Rahman kemudiannya berkahwin dengan Fadilah pada 25 Disember 2014.

Untuk rekod, A. Rahman pernah memenangi Anugerah Tokoh Kepimpinan Industri Muzik dalam Anugerah Kecapi Papita 2006.

Pada tahun 2005, beliau menerima Anugerah Wirama dalam Anugerah Industi Muzik (AIM).

Pencapaian lain apabila beliau mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records iaitu kumpulan Pop Yeh Yeh yang paling lama bertahan iaitu selama 40 tahun (1965-2005) dan ia disampaikan oleh Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir pada tahun 2005

Antara lagu popular nyanyian Allahyarham ialah Semoga Berjaya, Bimbang, Tak Mengapa dan Perpaduan Hidup.

Kali terakhir Allahyarham beraksi dalam sebuah acara berprestij ialah pada Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL32) pada tahun lalu membawa lagu Tak Mengapa.


Anwar berkongsi gambar bersama Allahyarham di Instagram miliknya.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Semoga keluarga Allahyarham tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," katanya.

Anwar berkata beliau kali terakhir bertemu dengan Allahyarham semasa menghadiri program Ahli Lembaga Pengarah Aswara di Port Dickson pada 21 April lalu.

A Rahman Hassan , meninggal

Artikel Lain