Rancangan sambut hari jadi cucu bertukar majlis pengebumian, hajat A Rahman Hassan tak kesampaian - Hiburan | mStar

Rancangan sambut hari jadi cucu bertukar majlis pengebumian, hajat A Rahman Hassan tak kesampaian

HASRAT Allahyarham Datuk A Rahman Hassan untuk mengumpulkan semua ahli keluarga sempena sambutan hari ulang tahun salah seorang cucunya tidak kesampaian apabila arwah menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi Khamis.

Menurut anaknya yang juga pelakon Khir Rahman, Allahyarham meluahkan hasrat itu semasa meraikan Aidilfitri bersama anak dan cucu-cucunya baru-baru ini.

“Semasa kami beraya bersama, dia beritahu kepada seorang cucunya bernama Irwanshah Khairulazmi nak buat majlis hari jadi di rumahnya pada 13 Jun.

“Perbualan bersahaja itu mengingatkan saya bahawa kata-katanya itu sebagai petanda dia nak jumpa kami semua di sini buat kali terakhir.

“Dia tak ada menunjukkan sebarang perubahan, semasa beraya pun makan berselera, semua sama saja seperti hari-hari biasa,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: A Rahman Hassan meninggal dunia

Jenazah Allahyarham A Rahman dibawa pulang dan dimandikan di kediamamannya di Ampang.

Khir, 46, ditemui di kediaman Allahyarham A Rahman di Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.

Penyanyi berusia 73 tahun itu meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur akibat strok dan pendarahan di bahagian otak pada pukul 12.40 pagi.

Dalam pada itu bercerita mengenai arwah, Khir berkata bapanya seorang yang sangat menitikberatkan mengenai bahasa dan budaya.

Kata Khir, arwah turut menjaga soal penggunaan bahasa Melayu dan sentiasa menerapkan budaya sopan-santun sesama manusia.

Khir reda dengan pemergian bapanya.

“Dia orang bahasa, bila dia tengok bahasa Melayu dirojakkan dan dituturkan tanpa penggunaan yang betul... hancur hatinya.

“Tak kisahlah bahasa dalam lagu atau perbualan, dia sangat jaga mengenai perkara itu.

“Saya masih ingat pesanannya untuk jaga bahasa dan sentiasa mengawal budaya dan kelakuan sebagai anak seni,” katanya.

Jenazah A Rahman dibawa pulang dan dimandikan di kediamannya dan akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam, Taman Keramat.

Antara rakan artis yang hadir menziarahi Allahyarham ialah Datuk DJ Dave, Datuk Jeffrydin, Datuk M Nasir, Fauziah Nawi, dan Zed Zaidi.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketepi.

A Rahman Hassan , Khir Rahman

Artikel Lain