Ella nak derma Dolce & Gabbana untuk pelarian Palestin

Ella udah lama berniat untuk menyertai misi kemanusian. Foto: SAMUEL ONG.

PENYANYI Ella Aminuddin teruja menyertai misi kemanusiaan ke Lubnan bagi membantu mangsa pelarian Syria.

Ella atau nama sebenarnya Nur Zila Aminuddin, 53, berkata dia sudah lama berniat untuk menyertai misi sedemikian dan mula membuat persediaan sejak lapan tahun lepas.

"Kami pernah berkerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini. Tapi kebanyakannya sudah ada aktivis dan selebriti yang bersama dengan mereka.

"Jadi tahun ini adalah masa yang sesuai untuk turut serta membantu dalam misi kemanusiaan, menggalakkan kedamaian, selari dengan album saya Peace, Love, Rindu," kata Ella kepada mStar Online.

Ella ditemui ketika sidang media Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB) dan kempen #1follower1ringgit di Grand Millennium, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ella dan suaminya dilantik sebagai ikon kemanusian kolaborasi bersama KKB.

Pada majlis itu Ella bersama suaminya, Azhar Ghazali dilantik menjadi ikon kemanusiaan sebagai kolaborasi bersama KKB dalam melancarkan kempen untuk mengutip dana yang akan disalurkan kepada pelarian Palestin dan Syria di Lubnan.

Justeru, Ella dan suaminya dijangka bakal berangkat ke Lubnan pada 26 April ini bagi menyertai lawatan ke beberapa kem penempatan pelarian di Lembah Beeka, Lubnan.

Bercerita lanjut mengenai misi itu, ratu rock Malaysia ini berkata dia sudahpun memgumpul beberapa barangan peribadi miliknya untuk didermakan kepada mangsa pelarian di sana.

"Kita tahu keadaan mereka di sana sangat daif, budak-budak kecil kutip makanan. Ketika musim sejuk, mereka hidup dalam kesejukan.

"Saya sendiri ada banyak baju-baju yang sudah dikumpul untuk dihantar ke sana. Tak kisah jenama apa pun.

"Baju Dolce & Gabbana pun saya dah kumpulkan untuk musim sejuk dekat sana. Lagipun bukan kita pakai dekat sini, saya sanggup beri," ujarnya.

Ella dan beberapa rakan artis sudah membuat persediaan untuk ke Lubnan.

Tambah Ella, pelbagai persiapan telah dilakukan termasuk menemui beberapa rakan artis yang pernah menyertai misi sedemikian sebagai persediaan dari segi emosi dan fizikal.

"Kami sedar akan risiko untuk ke sana. Mereka yang ke Palestin sebelum ini pun disoal siasat dan diperiksa dengan teliti.

"Saya ada bertemu rakan artis seperti Fara Fauzana, Jihan Muse dan Zara Zya, mereka ada berkongsi pengalaman ketika menyertai misi kemanusiaan begini.

"Insyallah jika kami sampai ke sana, kita akan fikirkan aktiviti yang boleh melegakan mereka. Kalau dapat buat mereka tersenyum pun dah cukup bermakna buat Ella," katanya.

Ella sebelum ini pernah dipilih sebagai 'Role Model' oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi mempromosikan pemikiran positif dalam kalangan belia dan muda-mudi.

Ella

Artikel Lain