suria

Aznil lepaskan jawatan di Astro, tolak khabar angin ambil VSS

Aznil menafikan khabar angin bahawa dia mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

PENGACARA terkenal Datuk Aznil Nawawi mengesahkan telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Naib Presiden Pengurusan Bakat On Air Astro pada 1 Disember lalu.

Bagaimanapun, dia menafikan khabar angin bahawa dia mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang ditawarkan pihak Astro kepada pekerjanya penghujung tahun lalu.

"Ia adalah permintaan saya untuk meninggalkan Astro bagi memulakan perniagaan membuka kelas pengacaraan dan pengucapan awam kepada masyarakat.

"Jawatan saya sebagai Naib Presiden tiada tawaran VSS, saya mempunyai niat dah lama untuk memulakan perniagaan kelas pengacaraan.

"Bila saya syorkan kepada pihak Astro mereka beri kelulusan dengan syarat saya masih lagi berkhidmat sebagai pengacara dan mengajar kelas mengajar bakat On Air," katanya kepada mStar Online.


Aznil terus menggalas tanggungjawab mengajar bakat-bakat baru di Astro.

Aznil memegang jawatan tersebut secara tetap pada 1 Oktober 2015.

Aznil ditemui pada majlis pelancaran program Mikrofon Impian yang diadakan pada Isnin.

Dalam pada itu, Aznil berkata, dia masih lagi bakat eksklusif stesen televisyen itu menerusi kontrak sehingga tahun 2020.

"Kontrak sebagai talent itu berbaki dua tahun lagi dan saya masih meneruskan tanggungjawab mengajar bakat-bakat baru di Astro, ia cuma tidak terikat sahaja untuk bekerja secara tetap.

"Saya mahu adakan kelas bergerak seluruh negara. Saya lihat orang menggunakan digital platform untuk berniaga dan kebolehan untuk bercakap depan kamera dan public speaking satu bisnes yang menjadi permintaan tinggi," ujarnya.

Aznil Nawawi

Artikel Lain