‘Mikrofon Impian’ pertandingan nyanyian untuk bayar hutang - Hiburan | mStar

‘Mikrofon Impian’ pertandingan nyanyian untuk bayar hutang

Aliza Ali (dari kiri), Azmi dan Fauziah Latiff sebagai juri tetap program 'Mikrofon Impian'.

PROGRAM realiti nyanyian baharu berjudul Mikrofon Impian diperkenalkan bagi membantu masalah kewangan peserta melalui pertandingan nyanyian bakal bersiaran bermula 17 Februari ini di Astro Ria.

Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad berkata, program adaptasi dari Thailand ini merupakan inisiatif pihak Astro dalam memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Kita ingin membawa penonton menyelami perasaan mereka yang terpaksa melalui kesusahan dan keperitan hidup kerana terjerat dengan tanggungan hutang.

"Penonton boleh menyelami perasaan mereka yang terpaksa melalui kesusahan kerana tanggungan hutang dalam menjalani kehidupan harian," ujarnya.

Tambah Raqim, masyarat yang prihatin boleh turut membantu dengan menyumbang secara ikhlas kepada peserta yang memerlukan sekiranya mereka gagal memenangi sebarang wang kemenangan menerusi pertandingan ini melalui saluran yang betul.

Raqim (kanan) berkata program Mikrofon Impian inisiatif Astro untuk membantu masyarakat.

Katanya, sebuah dana sosial dibuka menerusi platform MaybankHeart.

"Ingin kami tegaskan bahawa jumlah sumbangan bukanlah dijadikan ukuran utama tetapi ingatan kepada mereka yang memerlukan lebih diberikan perhatian sewajarnya," ujarnya.

Program ini megekalkan format asal dengan penambahan elemen baharu yang bersesuaian dengan budaya serta relevan untuk tontonan tempatan.

Selain itu, jenis bebanan hutang pula dibahagikan mengikut kategori masing-masing termasuklah hutang ibu-bapa atau penjaga, badan berkanun, bank dan individu.

Hadiah wang tunai ditawarkan mengikut jumlah keperluan bantuan kewangan yang diminta berdasarkan situasi masing-masing.

Dua peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod.

Mereka diminta menjelaskan situasi kewangan sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri.

Program yang bakal dihoskan oleh Datik Aznil Nawawi ini turut menampilkan dua juri tetap iaitu penyanyi Fauziah Latiff, Azmi Saat (Caliph  Buskers) dan Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali.

Ia juga menampilkan juri undangan khas seperti Zamani, Elyana, Mark Adam, Elizabeth Tan, Tomok, Hazami, Salih Yaacob, Mawi dan Siti Nordiana.

Program berdurasi 1 jam ini bakal bersiaran sebanyak 13 episod pukul 9 malam.

Mikrofon Impian , Aznil

Artikel Lain

Derita si janda muda