Haqiem Rusli kembali guna Twitter, kini kebal kecaman netizen - Hiburan | mStar

Haqiem Rusli kembali guna Twitter, kini kebal kecaman netizen

Haqiem Rusli kembali aktif di Twitter. Foto ANIS ABDULLAH

PENYANYI sensasi Haqiem Rusli kembali aktif di Twitter selepas mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakan media sosial itu pada Disember tahun lalu.

Haqiem berkata, keputusannya dibuat demi peminatnya yang digelar Qiemilio kerana menerusi medium itu mereka dapat berinteraksi dengan lebih mudah berbanding laman sosial lain.

Kata penyanyi lagu Tergantung Sepi ini, adalah tidak adil dia mengabaikan peminatnya hanya kerana tertekan dengan kritikan dan kecaman netizen terhadapnya di Twitter.

"Sebelum ini memang saya berhenti gunakan Twitter kerana terlalu banyak kritikan dan hentaman netizen terhadap saya.

"Apabila saya fikirkan kembali ia tidak adil buat peminat yang sentiasa menyokong saya dan Twitter pula medium paling mudah dan berkesan untuk saya berkomunikasi dengan mereka.

"Atas dasar itu juga saya mengambil keputusan untuk tidak pedulikan haters dan fokus kepada peminat sahaja," katanya.

Haqiem bakal tampil dengan single baharu tidak lama lagi.

Haqiem ditemui pada sidang media pencalonan Top 5 ERA Digital Muzik Awards 2018 (EDMA 2018) yang diadakan pada Isnin lalu.

Penyanyi itu dicalonkan menerusi dua kategori iaitu Penyanyi Kolaborasi Terbaik bersama Aman Ra (Jatuh Bangun) dan Temubual Terbaik Carta ERA.

Sebelum ini, Haqiem dikritik hebat netizen apabila didakwa bersikap biadab dan tiada adab disebabkan dia memakai cermin mata hitam dan airpods ketika menzirah sebuah rumah asnaf sehingga menyebabkan dia menutup Twitternya.

Dalam pada itu, Haqiem berkata, kedatangan 2019 diharap memberi sinar baharu dalam karier seninya selain terhindar dengan cerita kontroversi seperti mana berlaku tahun lalu.

Pun begitu kata Haqiem, dia tidak menyesali tentang apa yang menimpanya sebelum ini selain menyifatkan ia proses mematangkannya.

"Banyak yang saya belajar daripada semua kontroversi yang berlaku dan saya jadi lebih kebal dengan segala kritikan dan kecaman daripada netizen terhadap saya.

"Sebelum ini mungkin saya terlalu fokus kepadanya sehingga menggangu karier saya tetapi kini tidak lagi," ujarnya.

Sementara itu, Haqiem berkata, dia sedang dalam proses merakamkan tiga buah lagu terbaharunya termasuk sebuah lagu rancak dan balada serta sebuah lagu berbahasa Inggeris.

Haqiem Rusli

Artikel Berikut

Artikel Lain