suria

Sabyan Gambus mahu duet dengan Siti Nurhaliza

Kumpulan Sabyan Gambus akan mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 12 Januari ini.

VOKALIS kumpulan nasyid popular Indonesia, Sabyan Gambus iaitu Khoirunnisa Komarudin menyimpan hasrat untuk merakamkan lagu duet bersama penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Khoirunnisa atau lebih mesra dengan sapaan Nissa, 19, memberitahu dia memang meminati penyanyi nombor satu Malaysia itu sejak kecil dan sekiranya mendapat bekerjasama dengannya ia satu penghargaan.

"Saya sangat mengagumi suara beliau yang hebat selain Siti antara penyanyi yang memberi inspirasi kepada saya untuk berjaya dalam bidang seni.

"Siapa yang tidak mahu berduet dengannya? Jika saya dapat peluang itu, ia seperti impian menjadi kenyataan," katanya.

Kumpulan itu bakal mengadakan konsert sulung mereka di negara ini berjudul Konsert Sabyan Gambus Live In Malaysia 2019 pada 12 Januari ini di Stadium Malawati Shah Alam pada pukul 8.30 malam.

Selain Nissa, Sabyan Gambus turut dianggotai oleh Ahmad Fairuz (Ayus) keyboard, Sofwan Yusuf atau Wawan (perkusi), Kamal (darbuka), Tubagus Syaifulloh (Tebe) biola, dan Anisa Rahman (penyanyi latar).

Sabyan Gambus terkenal dengan lagu Deen As Salam.

Dalam pada itu, Nissa berkata, mereka tidak menyangka single berjudul Deen As Salam mendapat sambutan luar biasa peminat selain muzik videonya ditonton sebanyak 161 juta kali di Youtube.

Kata Nissa, penerimaan baik terhadap lagu tersebut adalah bukti pendengar mahukan lagu-lagu berunsurkan kerohanian dan ia bukti genre nasyid masih menjadi pilihan penggemar muzik.

Bercakap mengenai konsert mereka nanti, Nissa berkata, persembahan selama tiga jam itu turut menampilkan artis undangan dari Malaysia seperti UNIC, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.

Selain Deen As Salam, mereka akan menyampaikan lagu popular lain seperti Ya habibal Qolbi, Rohman Ya Rohman dan Ya Asyiqol.

"Perasaan gementar itu memang ada tambahan pula ini kali pertama kami mengadakan sebuah konsert di Malaysia dan berharap semua yang hadir nanti akan terhibur dan mendapat manfaat," katanya.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM229 hingga RM999 dan ia boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.my/konsertsabyan 2019.

Sabyan Gambus, Siti Nurhaliza

Artikel Lain