Rafiena lebar sayap ke Singapura terbit drama - Hiburan | mStar

Rafiena lebar sayap ke Singapura terbit drama

Rafiena bakal melebarkan sayapnya ke Singapura apabila bakal menerbitkan dan membekalkan drama di sebuah stesen televisyen di negara itu.

PENERBIT Datuk Rafiena Ezanee Ramli bakal mengorak langkah dalam penerbitan drama apabila memberitahu akan menjalinkan kerjasama dengan sebuah stesen televisyen di Singapura bagi menerbitkan dan membekalkan drama.

Rafiena berkata, pihak stesen berkenaan menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama itu selepas tertarik dengan beberapa drama terbitan syarikatnya yang telah disiarkan sebelum ini.

“Saya sendiri amat terharu dengan perkembangan ini dan apa lagi yang boleh saya katakan selain bersyukur kepada Tuhan.

“Saya dimaklumkan mereka gembira kerana drama terbitan Darkwave Pictures mendapat rating yang tinggi dan sambutan hangat daripaada penonton,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafiena yang juga pelakon itu berkata satu perbincangan lanjut akan diadakan tidak lama lagi untuk ke peringkat seterusnya.

Beliau berkata, pihak stesen berkenaan juga menyatakan hasrat untuk membeli drama Syurgaku Tak Sempurna 2 yang sedang dalam penggambaran.

Rafiena bersama sebahagian anak angkatnya yang juga pelajar pusat Tahfiz di Melaka.

Sementara itu, Rafiena turut meraikan berita gembira itu bersama lebih 40 anak angkatnya di Melaka baru-baru ini.

“Sebenarnya saya memang sudah berniat untuk makan-makan bersama mereka sebelum ini. Jadi bila dapat berita gembira ini, saya terus mencari masa ke sana.

“Lebih bermakna, saya juga bakal mengerjakan umrah Isnin ini, jadi saya minta mereka doakan sekali agar semuanya berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, Darkwave memang sentiasa menjalin hubungan dengan anak-anak angkat di beberapa sekolah dan pusat Tahfiz termasuk di Shah Alam dan Kuala Kangsar.

Terbaharu, Rafiena turut teruja menantikan telefilem Janin yang bakal ditayangkan di Astro Citra pada 15 Disember ini.

Rafiena , Singapura

Artikel Lain